
ALOR SETAR, 3 Ogos – Seramai 34 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan menerusi Op Selera, Op Dandan dan Op Sapu yang dilaksanakan di sekitar daerah Kota Setar, Kuala Muda dan Kubang Pasu, pada hari ini dan semalam.
- Komposisi warga asing: majoriti Myanmar, juga Indonesia, Pakistan dan Bangladesh; umur antara 5 hingga 48 tahun.
- Kesalahan termasuk berada tanpa pas, tinggal lebih masa dan melanggar syarat pas; tindakan di bawah Akta Imigresen 1959/63.
- Operasi hasil risikan; tahanan dibawa ke Depot Imigresen Belantik untuk dokumentasi; orang ramai diminta menyalurkan maklumat.
Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Negeri Kedah menerusi kenyataan memaklumkan PATI daripada pelbagai negara itu terdiri daripada 24 lelaki, lapan wanita dan dua kanak-kanak berusia antara lima tahun hingga 48 tahun.
“Daripada jumlah tangkapan tersebut, 28 orang merupakan warganegara Myanmar, tiga warganegara Indonesia, dua warganegara Pakistan dan seorang warganegara Bangladesh”, katanya.
Menurut JIM Kedah, dalam operasi bermula pukul 6.00 petang hingga selesai itu, sebanyak enam premis telah diperiksa yang melibatkan rumah penempatan pekerja, tapak pembinaan, penempatan haram, premis makanan, kedai gunting rambut dan premis kediaman.
“Seramai 72 orang telah diperiksa terdiri daripada 26 warganegara Malaysia dan 46 warga asing dari Bangladesh, Myanmar, Indonesia, Pakistan serta Vietnam.
Kesalahan yang dikesan termasuk berada di Malaysia tanpa pas atau permit yang sah di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63, tinggal melebihi tempoh yang dibenarkan di bawah Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63, serta melanggar syarat pas di bawah Peraturan 39(b), Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
Selain itu, empat Borang Imm.29 (Saman Kepada Saksi) turut dikeluarkan sepanjang operasi bagi membantu siasatan.
Operasi dilaksanakan hasil risikan dan maklumat awam melibatkan seramai 15 pegawai Unit Tindakan Imigresen.
Kesemua warga asing yang ditahan telah dibawa ke Depot Imigresen Belantik, Sik untuk tujuan dokumentasi dan siasatan lanjut sebelum tindakan sewajarnya diambil mengikut peruntukan Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
Dalam pada itu, JIM Negeri Kedah akan terus memperhebat operasi penguatkuasaan secara berterusan bagi mengesan, membanteras dan mengekang kehadiran pendatang asing tanpa izin di negeri itu.
“Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana individu atau majikan yang didapati melindungi, menggaji atau membantu warga asing yang melanggar undang-undang imigresen negara.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan Pendatang Asing Tanpa Izin atau sebarang pelanggaran Akta Imigresen disaran menyalurkan maklumat kepada Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Kedah melalui talian aduan 04-7333302, emel aduanpati.kdh@imi.gov.my atau SISPAA di pautan https://imi.spab.gov.my.
“Kerjasama masyarakat amat dihargai dalam memastikan kedaulatan undang-undang dan keselamatan negara terus terpelihara”, katanya.