
SEPANG, 3 Ogos – Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) akan menambah baik prosedur operasi standard (SOP) saringan keselamatan terhadap kru penerbangan susulan insiden seorang juruterbang warganegara Malaysia yang ditahan pihak berkuasa Indonesia kerana didakwa membawa dadah.
- Mesyuarat khas dengan agensi berkaitan diadakan untuk meneliti dan menambah baik prosedur sedia ada.
- Malaysia Aviation Group bersetuju melaksanakan langkah penambahbaikan; semua kakitangannya akan menjalani saringan lanjut.
- Perbincangan termasuk penilaian semula sistem keselamatan dan mesin pengimbas; orang ramai diminta beri ruang serta masa untuk saringan.
Ketua Pengarah AKPS, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain menegaskan, perkara itu antara yang dibincangkan dalam mesyuarat khas bersama agensi berkaitan bagi meneliti penambahbaikan prosedur sedia ada.
Menurut beliau, Malaysia Aviation Group (MAG) turut memandang serius perkara tersebut dan bersetuju supaya langkah penambahbaikan dilaksanakan dalam masa terdekat.
“Segala prosedur sedia ada akan ditambah baik dalam masa terdekat dan kami juga dimaklumkan bahawa semua kakitangan MAG akan menjalani saringan lanjut,” katanya pada media khas di KLIA Terminal 1 hari ini.
Mesyuarat itu turut dihadiri wakil Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kementerian Dalam Negeri, MAG, Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) serta agensi berkaitan.
Datuk Seri Mohd Shuhaily berkata, pihaknya turut membincangkan penambahbaikan sistem keselamatan dan mesin pengimbas yang digunakan, termasuk menilai semula keberkesanan sistem sedia ada.
“Sistem yang sedia ada telah digunakan sepenuhnya dalam kes ini dan perbincangan lanjut mungkin merangkumi bagaimana kita boleh memperbaiki sistem serta mesin terbabit,” katanya.
Dalam masa sama, beliau meminta orang ramai memberikan ruang dan masa mencukupi kepada pihak berkuasa menjalankan proses saringan keselamatan, termasuk pemeriksaan keluar dan masuk negara.
Teagasnya, aspek keselamatan perlu terus diberi keutamaan walaupun proses pemeriksaan mungkin mengambil sedikit masa, selaras dengan piawaian antarabangsa yang perlu dipatuhi lapangan terbang.