Juruterbang lolos saringan KLIA, tiada imej mencurigakan dikesan

Foto BERNAMA

SEPANG, 3 Ogos – Juruterbang warganegara Malaysia yang ditahan pihak berkuasa Indonesia kerana didakwa membawa dadah telah melalui semua proses saringan sebelum berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 28 Julai lalu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Hasil imbasan mesin pengimbas tidak menunjukkan imej mencurigakan pada bagasi.
  • Bagasi tidak mencapai tahap risiko untuk pemeriksaan sekunder oleh pegawai.
  • AKPS menunggu maklum balas PDRM bagi mendapatkan gambaran lebih jelas bagaimana bahan terlarang melepasi saringan.
  • Modus operandi penyembunyian MDMA dan methamphetamine masih disiasat, PDRM hantar pegawai bekerjasama dengan pihak narkotik Indonesia.

Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS), Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, hasil imbasan menggunakan mesin pengimbas tidak menunjukkan sebarang imej mencurigakan terhadap bagasi yang dibawa individu berkenaan.

Menurut beliau, bagasi itu juga tidak mencapai tahap risiko yang memerlukan pemeriksaan sekunder oleh pegawai bertugas.

“Dalam konteks ini, benda itu tidak mencetuskan sebagai satu barang yang mempunyai risiko yang perlu disemak lebih lanjut oleh pegawai.

“Oleh itu, pegawai telah membuat keputusan bahawa perkara ini, seperti bagasi lain, tidak memerlukan pemeriksaan sekunder,” katanya dalam sidang media khas di KLIA Terminal 1 hari ini.

Beliau bagaimanapun berkata, AKPS kini menunggu maklum balas daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi mendapatkan gambaran lebih jelas mengenai bagaimana bahan terlarang itu boleh melepasi proses saringan di KLIA.

Katanya, modus operandi penyembunyian bahan disyaki MDMA dan methamphetamine, termasuk kemungkinan ia dibalut atau disembunyikan dengan kaedah tertentu, masih dalam siasatan pihak berkuasa.

“Modus operandi tentang bagaimana bahan MDMA dan methamphetamine itu disaluti atau disembunyikan masih kita tunggu daripada pihak PDRM.

“Saya difahamkan pihak PDRM telah berusaha menghantar pegawai untuk bekerjasama dengan pihak narkotik Indonesia,” katanya.

Terdahulu, seorang juruterbang warganegara Malaysia ditahan pihak berkuasa Indonesia selepas pemeriksaan terhadap bagasinya menemukan bahan disyaki dadah.

Menurut laporan media tempatan Indonesia, sebanyak 14 bungkusan besar pil ekstasi serta satu bungkusan syabu ditemukan dalam bagasi berkenaan dengan jumlah berat keseluruhan dianggarkan kira-kira 25 kilogram.

Siasatan awal pihak berkuasa Indonesia mendapati suspek dipercayai berperanan sebagai keldai dadah kepada sindiket penyeludupan antarabangsa, dengan siasatan kini tertumpu kepada usaha mengenal pasti rangkaian yang mendalangi kegiatan tersebut.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.