
KUALA LUMPUR, 19 Ogos – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) memberi kerjasama penuh kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam siasatan kes kemalangan jalan raya membabitkan sebuah kenderaan milik jabatan di Jalan Sultan Ismail, di sini, awal pagi tadi.
- JIM memberi kerjasama penuh kepada PDRM bagi menyiasat punca dan keadaan sebenar kemalangan kenderaan jabatan.
- JIM akan menjalankan siasatan dalaman meneliti pematuhan SOP dan keselamatan, dan mengambil tindakan sewajarnya berdasarkan hasil siasatan.
- JIM merakam takziah kepada keluarga mangsa, meminta orang ramai membantu siasatan dan menghormati privasi, tidak menyebar maklumat belum disahkan.
JIM memaklumkan kerjasama itu bagi membantu pihak berkuasa mengenal pasti punca serta keadaan sebenar kejadian yang mengakibatkan kehilangan nyawa dan kecederaan.
Menurut JIM, pihaknya menghormati proses siasatan yang sedang berlangsung dan tidak akan membuat sebarang kesimpulan yang boleh mendahului hasil siasatan PDRM.
“JIM juga akan menjalankan siasatan dalaman bagi meneliti aspek pematuhan prosedur operasi standard (SOP) dan keselamatan berkaitan pengoperasian kenderaan Jabatan.
“JIM memandang serius kejadian berkenaan dan akan mengambil tindakan sewajarnya berdasarkan hasil siasatan PDRM serta siasatan dalaman Jabatan,” menurut kenyataan itu.
Jabatan itu turut menzahirkan rasa dukacita atas kejadian berkenaan serta merakamkan ucapan takziah dan simpati yang mendalam kepada keluarga mangsa atas kehilangan insan tersayang.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian juga diminta tampil membantu siasatan pihak berkuasa.
Dalam masa sama, JIM memohon orang ramai menghormati privasi serta sensitiviti keluarga mangsa dengan tidak menyebarkan gambar, rakaman atau maklumat yang belum disahkan bagi mengelakkan spekulasi yang boleh menjejaskan proses siasatan.