
HULU TERENGGANU, 8 Sept – Jenazah bayi perempuan berusia empat bulan yang meninggal dunia semasa berada di sebuah TASKA di Bandar Al Muktafi Billah Shah, Dungun, selamat dikebumikan kampung halaman ibunya Felda Tersat di sini, malam tadi.
- Keluarga reda menerima pemergian bayi dan menyerahkan siasatan kepada polis.
- Ibu enggan menuding jari, mohon orang tidak menyalahkan TASKA dan elak spekulasi.
- Bayinya dihantar sihat, ditemui tidak sedarkan diri pukul 10 pagi, dirujuk ke hospital; pemeriksaan awal tiada kecederaan, siasatan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.
Keluarga mangsa menerima pemergian bayi berkenaan dengan redha dan menyerahkan sepenuhnya kepada pihak polis untuk menjalankan siasatan.
Ibu mangsa, Nurul Sahoda Rusli tidak menuding jari kepada mana-mana pihak atas kejadian yang menimpa anak keduanya itu.
“Saya berharap orang sekeliling tidak menyalahkan pihak TASKA walaupun perkara ini berlaku di TASKA. Saya dan suami memang reda dan menyerahkan kepada pihak polis untuk menjalankan siasatan.
Saya berharap tidak menuding kepada mana-mana pihak. Biar pihak berkuasa yang menguruskannya. Kami tidak mahu ada spekulasi yang tidak baik. Kami serahkan semuanya kepada pihak polis,” katanya.
Dalam kejadian pada pagi semalam, mangsa, Nur Helena Safya Mohamad Hazrin dihantar ke TASKA dalam keadaan sihat.
Bagaimanapun, pukul 10 pagi, mangsa didapati tidak sedarkan diri sebelum dibawa ke Klinik Kesihatan Durian Mas dan dirujuk ke Hospital Dungun.
Pemeriksaan awal tidak menemukan sebarang kecederaan fizikal.
Kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.