
MASJID TANAH, 9 Julai – Seorang guru dan tiga pelajar sekolah menengah cedera selepas kereta dinaiki mereka bertembung dengan sebuah lori di Solok Duku, di sini, ketika dalam perjalanan pulang selepas menyertai kejohanan ping pong peringkat negeri, petang semalam.
- Panggilan kecemasan diterima pada 3.24 petang, melibatkan perlanggaran antara Proton Saga dan lori; pemandu lori tidak cedera.
- Guru pengiring 24 tahun dan seorang pelajar 16 tahun cedera parah, tersepit dan dikeluarkan orang awam sebelum bomba tiba.
- Dua pelajar lain mengalami kecederaan termasuk patah kaki; cubaan mengambil wang dan barangan milik mangsa digagalkan, barangan diserahkan kepada polis.
Ketua Zon 2, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka, Zulkhairani Ramli berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 3.24 petang membabitkan kemalangan antara sebuah Proton Saga dan lori.
“Keempat-empat mangsa yang menaiki kereta mengalami kecederaan, manakala pemandu lori berusia 46 tahun tidak cedera,” katanya.
Beliau berkata, enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Masjid Tanah dikerahkan ke lokasi.
Dalam kejadian itu, guru pengiring berusia 24 tahun dan seorang pelajar lelaki berusia 16 tahun cedera parah selepas tersepit di dalam kereta yang dinaiki mereka.
Kedua-dua mangsa dikeluarkan orang awam sebelum pasukan bomba tiba di lokasi.
Manakala dua lagi pelajar berusia 15 dan 16 tahun pula mengalami kecederaan, termasuk patah kaki.
Dalam perkembangan sama, Zulkhairani berkata, operasi itu turut dicemari tindakan seorang individu yang dipercayai cuba mengambil wang dan barangan peribadi milik guru yang cedera.
Bagaimanapun, beliau berkata, anggota bomba bertindak pantas menghalang perbuatan itu sebelum semua barangan milik mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.