
KUALA TERENGGANU, 10 Julai – Lembaga Tabung Haji (TH) telah menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) dan e-mel kepada lebih 60,000 bakal jemaah haji sebagai persediaan awal bermula 1 Julai lepas.
- Inisiatif bertujuan membantu bakal jemaah membuat persediaan awal dari segi kewangan, kesihatan dan ilmu ibadah.
- Penghantaran ditujukan kepada kohort musim 2027 dan 2028; saluran massa dan sosial digunakan; maklum balas amat menggalakkan.
- TH mengekalkan syarat simpanan minima RM15,000 sebelum ditawarkan menunaikan haji untuk menggalakkan amalan menabung.
- Kursus asas haji bermula 25 Sept, terbuka kepada semua pendeposit dan umat Islam yang ingin menimba ilmu.
Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH Mustakim Mohamad berkata inisiatif itu bertujuan membantu bakal jemaah haji membantu persediaan awal dari segi kewangan, kesihatan dan ilmu ibadah.
Beliau berkata penghantaran SMS dan e-mel melibatkan dua kohort, iaitu bagi jemaah haji musim 2027 dan 2028.
“Selain SMS dan e-mel, TH juga menggunakan saluran komunikasi lain seperti media massa dan media sosial bagi memastikan peringatan itu sampai kepada semua bakal jemaah musim 2027 dan 2028.
“Maklum balas yang kita terima amat menggalakkan. Ramai yang bercakap mengenainya dalam media sosial. Kita harap peringatan ini akan memberikan peluang kepada jemaah haji untuk membuat persediaan awal, seterusnya menjalankan ibadah dengan tenang serta sempurna,” katanya pada sidang media Program Cilik-Cilik Dah Celik 2026 di sini, hari ini.
Mustakim berkata inisiatif SMS dan e-mel itu mula diperkenalkan tahun lepas, namun pelaksanaan tahun ini dibuat secara lebih tersusun dan awal, iaitu sebaik sahaja berakhir musim haji tahun semasa.
Beliau berkata TH masih mengekalkan syarat sama, iaitu bakal jemaah perlu mempunyai simpanan minimum sebanyak RM15,000 dalam akaun TH, sebelum ditawar mengerjakan haji.
“Kita mahu masyarakat membudayakan amalan menabung sedikit demi sedikit. Apabila tiba giliran, mereka tidak perlu berdepan tekanan untuk menyediakan wang dalam jumlah yang besar.
“Untuk ibadah haji tahun depan, kursus asas haji akan bermula pada 25 Sept depan. Kursus ini sebenarnya bukan hanya terbuka kepada mereka yang telah tiba giliran haji, tetapi semua pendeposit dan umat Islam yang ingin menimba ilmu haji,” katanya.
Dalam pada itu, Mustakim berkata TH masih menunggu pengumuman rasmi kerajaan Arab Saudi berkaitan sebarang peraturan baharu untuk musim haji akan datang.
“Setakat ini kita dimaklumkan bahawa Pakej D yang menawarkan harga paling rendah sudah tidak ada lagi. Tetapi, kita telah bersedia awal kerana kemudahan yang disediakan oleh TH kepada jemaah haji Malaysia pada tahun ini sebenarnya telah dinaik taraf kepada Pakej C walaupun harga dibayar untuk Pakej D,” katanya.- BERNAMA