
KUALA LUMPUR, 10 Julai – Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) bersedia bekerjasama dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi menambah baik proses pengurusan tuntutan serta memperkukuh aspek tadbir urus agensi itu.
- PERKESO akan segera menyiasat tuntutan palsu dan menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa tanpa kompromi.
- Agensi akan meneliti semula SOP dan sistem pemprosesan tuntutan bagi menutup lubang kelemahan yang dikenal pasti.
- SPRM melalui Op Daya membuka 81 kertas siasatan melibatkan 143 syarikat dan 98 individu berkaitan tuntutan Program Daya Kerjaya 2.0.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PERKESO, Datuk Seri Dr. Mohammed Azman Aziz Mohammed berkata, pihaknya menerima dengan terbuka saranan SPRM bagi mengenal pasti ruang penambahbaikan, khususnya dalam memastikan sebarang kelemahan sistem dapat ditangani.
“Kita menyambut baik apa yang telah disarankan SPRM dan mereka berhasrat untuk membantu kita melihat bagaimana boleh kita tambah baik dari segi proses bagi memastikan ruang-ruang tuntutan palsu ini dapat ditutup.
“Kita menerima dengan tangan terbuka kerana kita ingin bekerjasama untuk memastikan apa yang perlu diperbaiki dapat diperbaiki.
“Kita tidak duduk diam. Mana-mana tuntutan palsu, kita akan segera siasat dan salurkan kepada pihak berkuasa, terutamanya SPRM. Kita memang tidak akan berkompromi dengan tuntutan palsu ini,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media di Menara PERKESO, di ibu negara hari ini.
Ia susulan pengesanan terhadap tuntutan mencurigakan berkaitan Program Daya Kerjaya 2.0 bermula selepas Bahagian Anti-Fraud PERKESO mengenal pasti beberapa percanggahan menerusi sistem pemantauan agensi itu.
PERKESO tidak akan berkompromi terhadap sebarang tuntutan palsu dan akan mengambil tindakan sewajarnya termasuk menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa.
Agensi itu turut akan meneliti semula prosedur operasi standard (SOP) serta sistem pemprosesan tuntutan bagi memastikan ruang kelemahan yang dikenal pasti dapat diperbaiki.
Sebelum ini, SPRM menerusi Op Daya membuka 81 kertas siasatan membabitkan dakwaan penyelewengan tuntutan insentif Program Daya Kerjaya 2.0 PERKESO melibatkan 143 syarikat dan 98 individu.