
KUALA TERENGGANU, 10 Julai – Penyertaan golongan muda dalam Kawasan Rukun Tetangga (KRT) akan diperkasa menerusi ketetapan baharu yang mewajibkan sekurang-kurangnya 30 peratus ahli jawatankuasa terdiri daripada belia.
- Langkah baru dijangka merancakkan penglibatan komuniti dan memperkukuh peranan KRT sebagai ejen perpaduan negara.
- Terdapat hampir 8,700 KRT di seluruh negara.
- Penubuhan Jiran Muda digerakkan untuk menarik lebih ramai belia menyertai aktiviti kesukarelawanan.
- Peruntukan RM50 juta tahun ini, manakala setiap KRT aktif menerima geran operasi RM6,000.
Ketua Setiausaha Kementerian Perpaduan Negara, Datuk Haslina Abdul Hamid berkata, langkah itu dijangka mampu merancakkan semula penglibatan komuniti, secara tidak langsung memperkukuh peranan KRT sebagai ejen perpaduan negara.
Tambahnya, ketika ini terdapat hampir 8,700 KRT di seluruh negara.
Bagi menarik lebih ramai golongan belia menyertai aktiviti kesukarelawanan, penyertaan generasi muda turut diperkukuh menerusi penubuhan Jiran Muda.
Sebanyak RM50 juta diperuntukkan tahun ini untuk pengurusan dan pelaksanaan aktiviti KRT di seluruh negara.
Setiap KRT yang aktif akan menerima geran operasi RM6,000.
“KRT yang telah pun diluluskan pada awal tahun ini, menerusi peraturan yang terbaharu, menetapkan bahawa 30 peratus daripada ahli dalam kawasan jagaan setiap KRT mestilah terdiri daripada golongan muda.
“Ini merupakan antara usaha kita untuk meremajakan KRT di seluruh negara, dan sememangnya menjadi dasar kita.
“Selain itu, kita juga mempunyai beberapa bidang dalam komuniti yang memberi tumpuan kepada penglibatan golongan muda. Antaranya ialah program Jiran Muda,” katanya.
Terdahulu, beliau menghadiri Program Pemantauan Prestasi Rukun Tetangga Progresif di Kampung Raja Cendering, di sini.
Sementara itu, Datuk Haslina berkata lebih 400 atau 5 peratus KRT di seluruh negara dikenal pasti tidak aktif.
Antara faktornya adalah kelemahan kepimpinan pengurusan jawatankuasa.
Sehubungan itu, prestasi setiap KRT akan dipantau bagi memastikan mereka terus aktif melaksanakan program bermanfaat kepada komuniti.