Pusat Mediasi MADANI daftar 158 pengantara pro bono

M. Kulasegaran, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) / Foto fail BERNAMA

IPOH, 10 Julai– Pusat Mediasi MADANI terus menerima sambutan positif apabila seramai 158 pengantara (mediator) pro bono berdaftar sejak inisiatif itu dilancarkan pada Mei lalu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Sokongan profesion guaman memperluas akses penyelesaian pertikaian di luar mahkamah.
  • Mediasi menyelesaikan pertikaian lebih cepat daripada litigasi dan memberi manfaat kepada kedua pihak.
  • Diharap lebih negeri menubuhkan pusat mediasi untuk mengurangkan kes tertunggak dan memudahkan akses rakyat kepada keadilan.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), M. Kulasegaran berkata, perkembangan itu mencerminkan sokongan profesion guaman dalam memperluas akses kepada penyelesaian pertikaian di luar mahkamah.

Jelas beliau, inisiatif berkenaan turut menerima rujukan kes mediasi pro bono serta pertanyaan berkaitan perkhidmatan itu, meskipun pelaksanaannya masih di peringkat awal.

“Kalau litigasi, prosesnya mengambil masa yang panjang.

Mediasi pula membolehkan pertikaian diselesaikan lebih awal dan memberi manfaat kepada kedua-dua pihak. Sebab itu pendekatan ini perlu diberi keutamaan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Pusat Mediasi Peguam Perak (PBMC) di Ipoh.

Menurutnya, mediasi membantu mengurangkan kes tertunggak di mahkamah selain membolehkan pertikaian diselesaikan dengan lebih cepat dan harmoni.

Ketika ini, lebih 1,000 peguam di seluruh negara berperanan sebagai pengantara, termasuk kira-kira 45 orang di Perak.

Beliau berharap lebih banyak negeri menubuhkan pusat mediasi bagi memperluaskan penyelesaian pertikaian di luar mahkamah, sekali gus memudahkan akses rakyat kepada keadilan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.