
KUALA LUMPUR, 10 Julai – Polis menumpaskan sindiket perjudian dalam talian yang menjadikan perlawanan bola sepak Piala Dunia 2026 sebagai taruhan menerusi serbuan di sebuah premis pejabat di Taman Desa, di sini, semalam.
- 11 individu ditahan, termasuk lima warga tempatan dan enam warga Korea, dipercayai mengurus serta mempromosikan laman perjudian dalam talian.
- Operasi dilaksanakan Bahagian D7 JSJ IPK Kuala Lumpur dengan kerjasama Unit Siasatan Jenayah Komputer dan Makmal Forensik Bukit Aman.
- Dirampas 26 monitor, lapan komputer riba, empat CPU, router, modem, tunai RM16,817, 323,380.22 USDT dan 17,560 Won Korea.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, serbuan menerusi Op Soga XI itu dijalankan Bahagian D7, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur dengan kerjasama Unit Siasatan Jenayah Komputer dan Makmal Forensik Bukit Aman, kira-kira pukul 12 tengah hari.
Beliau berkata, seramai 11 individu ditahan membabitkan lima warga tempatan dan enam lelaki warga Korea yang dipercayai mengurus, menganjur serta mempromosikan laman sesawang perjudian dalam talian.
Siasatan awal mendapati sindiket berkenaan mula beroperasi sejak Mac lalu dengan menyasarkan pelanggan di Korea Selatan, Jepun dan Hong Kong.
Menurut beliau, enam warga Korea yang ditahan dipercayai bekerja dengan sindiket berkenaan menggunakan pas lawatan sosial.
Dalam serbuan itu, polis turut merampas 26 unit monitor, lapan komputer riba, empat unit pemprosesan pusat (CPU), sebuah router, sebuah modem serta wang tunai berjumlah RM16,817.
Turut dirampas baki kredit mata wang kripto Tether (USDT) bernilai 323,380.22 USDT serta 17,560 Won Korea.
Kes disiasat mengikut Seksyen 4(1)(c) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan Seksyen 39(b) Akta Imigresen 1959/63.
Semua suspek diserahkan kepada pegawai penyiasat Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields bagi tujuan permohonan reman dan siasatan lanjut.