
KUALA LUMPUR, 9 Julai – Seramai 21 individu ditahan dan pelbagai produk sejuk beku serta aset bernilai lebih RM24.15 juta dirampas menerusi Operasi Bersepadu Intra/Inter Agensi (Op Chiller) yang dijalankan di 11 daerah di Sabah, semalam.
- Operasi diketuai Briged Sabah PGA melibatkan 14 serbuan, membawa kepada penahanan 19 warga tempatan dan dua warga asing.
- Rampasan pelbagai produk sejuk beku bernilai RM10.35 juta serta aset seperti chiller, bilik sejuk, kenderaan dan peralatan bernilai RM13.8 juta.
- Operasi melibatkan agensi berkaitan termasuk KKM, Jabatan Perkhidmatan Veterinar, PBT dan KPDN bagi membanteras penyeludupan serta pemprosesan haram.
Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata operasi yang diketuai Briged Sabah Pasukan Gerakan Am (PGA) melibatkan 14 serbuan yang membawa kepada penahanan 19 warga tempatan dan dua warga asing berusia antara 20 hingga 66 tahun.
Beliau berkata, operasi yang berlangsung dari pukul 8.00 pagi hingga 6.00 petang itu, membabitkan rampasan pelbagai produk sejuk beku bernilai RM10.35 juta serta sitaan aset termasuk chiller, bilik sejuk, kenderaan dan peralatan dengan nilai keseluruhan RM13.8 juta.
“Antara produk yang dirampas ialah pelbagai jenis nugget, sosej, daging import,kambing, ayam, ikan, daging shabu-shabu dan organ dalaman lembu yang disyaki melanggar peruntukan undang-undang berkaitan”, katanya menerusi kenyataan.
Beliau berkata, semua tangkapan dan rampasan telah diserahkan kepada agensi berkaitan untuk siasatan lanjut.
Operasi itu melibatkan 147 pegawai daripada Briged Sabah PGA, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Jabatan Perkhidmatan Veterinar, pihak berkuasa tempatan (PBT) serta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).
Ia bertujuan mengesan serta membanteras aktiviti penyeludupan, penyimpanan dan pemprosesan produk sejuk beku, selain mengesan pelbagai kesalahan lain.
PDRM akan terus komited membanteras aktiviti penyeludupan, penyimpanan dan pemprosesan produk sejuk beku yang menyalahi undang-undang, khususnya di Sabah.
Kes disiasat mengikut beberapa peruntukan undang-undang termasuk Enakmen Haiwan 2015, Akta Makanan 1983, Akta Kawalan Bekalan 1961 serta beberapa undang-undang kecil pihak berkuasa tempatan.