Sebenarnya.my kekal platform semakan fakta berasaskan sumber rasmi

Foto hiasan

KUALA LUMPUR, 10 Julai – Portal Sebenarnya.my kekal sebagai platform semakan fakta bagi mengesahkan maklumat berdasarkan sumber rasmi dan fakta, bukannya saluran mempertahankan mana-mana naratif politik.

RINGKASAN BERITA AI
  • Semakan dibuat berdasarkan pengesahan rasmi kementerian, jabatan, agensi atau pihak berkuasa mengikut bidang kuasa masing-masing.
  • Penilaian berasaskan fakta, rekod rasmi, dokumen sahih serta sumber boleh dipertanggungjawabkan.
  • Artikel dikategorikan kepada palsu, penjelasan, waspada dan makluman; setiap kategori mempunyai tujuan dan fungsi tersendiri.
  • Kerjasama dengan MCMC, Bernama dan RTM serta penggunaan AIFA; AIFA memproses hampir 200,000 mesej hingga 1 Jun 2026.

Menurut Kementerian Komunikasi, portal itu diwujudkan sebagai platform semakan fakta nasional bagi membantu orang ramai mendapatkan maklumat sahih terhadap dakwaan tular, meragukan atau berpotensi menjejaskan kepentingan awam.

“Dalam menentukan sesuatu dakwaan semakan dibuat berdasarkan pengesahan rasmi daripada kementerian, jabatan, agensi atau pihak berkuasa berkaitan mengikut bidang kuasa masing-masing.

“Penilaian dibuat berasaskan fakta, rekod rasmi, dokumen sahih serta sumber yang boleh dipertanggungjawabkan,” menurut kementerian itu dalam jawapan bertulis yang disiarkan di laman sesawang Parlimen.

Kementerian itu menjawab soalan Ahmad Fadhli Shaari (PN-Pasir Mas) berkenaan kriteria yang digunakan portal Sebenarnya.my dalam menentukan sesuatu dakwaan sebagai palsu atau mengelirukan, selain kesediaan kementerian menubuhkan panel bebas pelbagai pihak bagi memastikan platform tersebut tidak dilihat sebagai alat mempertahankan naratif kerajaan semata-mata.

Kementerian Komunikasi memaklumkan artikel yang diterbitkan menerusi Portal Sebenarnya.my dikategorikan kepada empat jenis, iaitu palsu, penjelasan, waspada dan makluman.

Kategori palsu melibatkan penafian terhadap maklumat atau berita palsu, manakala penjelasan memberikan penerangan lanjut mengenai sesuatu isu yang dibangkitkan.

Kategori waspada pula bertujuan memberikan amaran kepada orang ramai mengenai maklumat atau berita yang sedang tular atau meragukan, manakala makluman melibatkan hebahan atau kemas kini maklumat atau berita daripada pihak berkaitan.

“Bagi tempoh 1 Jan 2022 hingga 31 Mei lepas, sebanyak 1,016 artikel telah diterbitkan menerusi portal berkenaan,” menurut kementerian itu.

Usaha semakan fakta itu turut diperkukuh melalui kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dengan pelbagai pihak berkepentingan, termasuk Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) dan Jabatan Penyiaran Malaysia (RTM), selain penggunaan Artificial Intelligence Fact-check Assistant (AIFA) yang dilancarkan pada 28 Jan 2025.

Sehingga 1 Jun 2026, AIFA telah memproses hampir 200,000 mesej daripada pengguna.

Mengenai cadangan penubuhan panel bebas pelbagai pihak bagi memantau platform itu, menurut kementerian pihaknya sentiasa terbuka untuk meneliti sebarang mekanisme yang dapat meningkatkan ketelusan, kredibiliti dan keyakinan awam terhadap platform semakan fakta.- BERNAMA

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.