
KUALA LUMPUR, 10 Julai – Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) memulakan kerja naik taraf sistem pengendalian bagasi (BHS) di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 menerusi penambahbaikan di kawsan tuntutan bagasi bagi penumpang ketibaan antarabangsa.
- Penggantian BHS dilaksanakan berperingkat untuk meningkatkan kebolehpercayaan, daya tahan dan kapasiti sistem serta meningkatkan perkhidmatan jangka panjang.
- Pemasangan penghadang bermula untuk penggantian tali sawat karusel E; Karusel F dijadual 31 Ogos 2026; kedua-dua fasa siap menjelang Januari 2027.
- Pelaksanaan berfasa, kerjasama dengan syarikat penerbangan dan pengendali darat, serta kawasan sementara, papan tanda dan petugas disediakan untuk meminimum gangguan.
Pengarah Urusan MAHB Datuk Mohd Izani Ghani dalam kenyataan memaklumkan program penggantian BHS dilaksanakan mengikut perancangan rapi bagi memastikan KLIA terus beroperasi sepenuhnya ketika proses pemodenan infrastruktur kritikal lapangan terbang dijalankan.
“Setiap fasa yang disiapkan akan meningkatkan kebolehpercayaan, daya tahan dan kapasiti sistem, sekali gus membolehkan kami memberikan perkhidmatan yang lebih baik kepada penumpang serta rakan syarikat penerbangan untuk jangka panjang,” menurut kenyataan itu.
Kerja pemasangan penghadang (hoarding) bermula semalam bagi membolehkan penggantian tali sawat karusel tuntutan bagasi di Karusel E dilaksanakan. Kerja pemasangan penghadang bagi Karusel F pula dijadual bermula pada 31 Ogos 2026.
Kedua-dua fasa kerja berkenaan dijangka siap menjelang Januari 2027, sebelum program penggantian BHS diteruskan secara berperingkat di karusel tuntutan bagasi yang lain.
Pendekatan pelaksanaan secara berfasa itu membolehkan kerja-kerja pemodenan dijalankan dengan selamat dan sistematik dalam persekitaran lapangan terbang yang masih beroperasi, di samping mengurangkan gangguan terhadap operasi pengendalian bagasi.
Malaysia Airports turut bekerjasama rapat dengan syarikat penerbangan dan rakan pengendali darat bagi memastikan langkah sewajarnya diambil untuk meminimumkan gangguan sepanjang kerja-kerja naik taraf dilaksanakan.
“Walaupun penumpang mungkin mengalami kesesakan sementara di kawasan tuntutan bagasi, operasi penghantaran bagasi akan terus berjalan seperti biasa,” tambah kenyataan itu.
Bagi memastikan kelancaran pengalaman penumpang, empat kawasan pengambilan bagasi sementara akan diaktifkan mengikut keperluan bagi menguruskan jumlah bagasi serta mengelakkan limpahan di karusel.
Papan tanda jelas akan dipasang bagi memaparkan maklumat penerbangan berkaitan, manakala pasukan operasi bagasi, pengendali darat serta khidmat pengalaman pelanggan akan bersedia membantu penumpang mencari dan mengambil bagasi masing-masing.
Keselamatan kekal menjadi keutamaan sepanjang pelaksanaan setiap fasa program berkenaan. Semua kerja pemasangan penghadang dan pembinaan akan dilaksanakan dengan mematuhi sepenuhnya keperluan operasi bagi menjamin keselamatan penumpang, warga lapangan terbang serta kelancaran operasi harian.
Malaysia Airports turut merakamkan penghargaan atas kesabaran dan kerjasama penumpang sepanjang penambahbaikan penting itu dilaksanakan bagi memperkukuh keupayaan operasi jangka panjang KLIA serta meningkatkan kecemerlangan penyampaian perkhidmatan.