Lebih 40 hotel tawar promosi eksklusif sempena Citrawarna 2026

Foto Tourism Malaysia

KUALA LUMPUR, 10 Julai – Lebih 40 hotel dan premis penginapan di sekitar Lembah Klang serta beberapa negeri menawarkan promosi penginapan eksklusif bersempena festival Citrawarna 2026 yang dijadual berlangsung di Dataran Merdeka dari 24 hingga 26 Julai ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Promosi penginapan termasuk kadar bilik istimewa dan pakej, boleh ditempah pertengahan Julai hingga pertengahan Ogos melalui laman rasmi atau terus di hotel.
  • Inisiatif Citra Rasa di kafe dan restoran hotel mengetengahkan hidangan warisan negeri, memperkaya pengalaman gastronomi pengunjung.
  • Kerjasama industri pelancongan menyokong TMM2026, memperkasakan komuniti, memacu pembangunan ekonomi mampan dan menguatkan Malaysia sebagai destinasi budaya.

Tourism Malaysia dalam kenyataan memaklumkan, promosi itu merangkumi kadar bilik pada harga istimewa serta pakej penginapan menarik bagi memberi lebih banyak pilihan kepada pengunjung yang ingin menyertai festival kebudayaan ikonik negara itu.

“Tawaran berkenaan boleh ditempah mulai pertengahan Julai hingga pertengahan Ogos menerusi laman sesawang rasmi hotel yang mengambil bahagian atau secara terus di premis penginapan terbabit.

“Maklumat lanjut termasuk senarai hotel yang terlibat, butiran pakej serta inisiatif Citra Rasa (Colours of Flavour) akan diumumkan secara berperingkat menerusi platform media sosial @citrawarna.my dan @malaysia.truly.asia, selain boleh diperoleh melalui laman sesawang Malaysia Travel,” menurut kenyataan Tourism Malaysia.

Selain promosi penginapan, hotel yang mengambil bahagian turut memperkenalkan inisiatif Citra Rasa, yang mengetengahkan hidangan berinspirasikan warisan kulinari setiap negeri di Malaysia menerusi kafe dan restoran masing-masing.

“Menerusi inisiatif gastronomi asli ini, para pengunjung berpeluang menikmati kepelbagaian hidangan tradisional yang kaya dengan keunikan warisan rasa yang tersendiri,” menurut kenyataan itu.

Tourism Malaysia berkata, kerjasama dengan pemain industri pelancongan mencerminkan komitmen bersama dalam memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai destinasi pelancongan budaya bertaraf dunia.

Menurutnya, langkah itu bukan sahaja memperkayakan pengalaman pelawat, malah menyokong pertumbuhan pelancongan yang inklusif, memperkasakan komuniti setempat, meningkatkan daya tahan industri serta memacu pembangunan ekonomi mampan sepanjang Kempen Melawat Malaysia 2026 (TMM2026).

Citrawarna 2026 yang bertemakan “Ritma Warisan, Nadi Nusa dan Bangsa” akan berlangsung selama tiga hari dengan menampilkan pelbagai persembahan seni, budaya dan warisan serta keindahan alam semula jadi Malaysia.

Festival itu dijangka menjadi platform kepada pengunjung tempatan dan antarabangsa untuk menghayati kepelbagaian budaya serta identiti Malaysia melalui pelbagai persembahan yang mencerminkan kekayaan warisan negara.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.