Gudang disewa jadi makmal dadah

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan bercakap dalam Sidang Media di Pusat Latihan Polis Kuala Lumpur (PULAPOL)/RTM

KUALA LUMPUR, 9 Mac -Polis membongkar aktiviti sebuah makmal haram memproses dadah dalam serbuan di sebuah gudang di Taman Perindustrian Subang pada 2 Mac lalu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Gudang disewa sejak 2024 dan dipercayai dibina sebagai makmal dadah haram berkapasiti tinggi.
  • Sindiket antarabangsa dipercayai terlibat; kebanyakan anggota melarikan diri dan premis ditinggalkan.
  • Rampasan termasuk 214 tong cecair disyaki bahan kimia, serbuk kimia dan peralatan penghasilan dadah.
  • Operasi aktif sejak Oktober 2024; premis disewa dengan identiti palsu pada kadar RM6,500 sebulan.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, operasi oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Subang Jaya itu dijalankan hasil risikan serta maklumat awam.

“Gudang perindustrian tersebut telah disewa sejak tahun 2024, setahun lebih telah disewa. Jadi kita percaya premis ini sedang digunakan untuk membina makmal dadah haram yang berkapasiti tinggilah.

“Dan kita percaya sindiket antarabangsa yang cuba menggunakan Malaysia sebagai tempat memproses dadah berjaya dihapuskan dan kebanyakan mereka telah melarikan diri dan gudang tersebut ditinggalkan,” katanya dalam Sidang Media di Pusat Latihan Polis Kuala Lumpur (PULAPOL).

Pelbagai bahan kimia dan peralatan dipercayai digunakan untuk memproses dadah dirampas dalam serbuan itu termasuk 214 tong cecair disyaki bahan kimia, tiga tong dan lima botol berisi serbuk kimia, selain 0.94 kilogram serbuk bahan kimia.

Turut dirampas ialah lima mesin serta tiga balang kaca yang dipercayai digunakan dalam proses penghasilan dadah.

Siasatan mendapati sindiket itu aktif sejak Oktober 2024 dan menggunakan identiti palsu bagi menyewa gudang berkenaan dengan kadar RM6,500 sebulan.

Kes disiasat bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.