
IPOH, 24 Ogos – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Perak menahan dua vesel nelayan tempatan disyaki menjalankan aktiviti perikanan tanpa lesen sah serta menggunakan peralatan menangkap ikan yang dilarang dalam dua operasi berasingan di perairan negeri itu, semalam.
- Tindakan penguatkuasaan dilakukan semasa rondaan Op Sayong, Op Pintas, Op Khas Tanjung 2 dan Op Tiris oleh kapal Maritim.
- Vesel pertama ditahan kira-kira 2.12 pagi di 3.9 batu nautika barat laut Batu Tanjung Hantu; dua kru dan 19 bubu naga.
- Vesel kedua ditahan kira-kira 2.58 pagi di 3.4 batu nautika barat laut; tiga kru dan 87 bubu naga.
- Keseluruhan 106 unit bubu naga dirampas; kes disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 dan diserahkan kepada Pegawai Penyiasat.
Pengarah Maritim Negeri Perak, Kepten Maritim Mohamad Shukri Khotob, berkata vesel pertama ditahan pada kira-kira 2.12 pagi, di kedudukan sekitar 3.9 batu nautika barat laut Batu Tanjung Hantu, Perak.
Beliau berkata penahanan itu dilakukan kapal Maritim Malaysia ketika melaksanakan rondaan dan penguatkuasaan menerusi Op Sayong, Op Pintas, Op Khas Tanjung 2 dan Op Tiris.
“Hasil pemeriksaan mendapati terdapat dua kru termasuk tekong warga Malaysia berusia 24 dan 45 tahun berada di atas vesel berkenaan.
“Siasatan awal mendapati vesel itu disyaki melanggar beberapa syarat lesen perikanan di bawah Akta Perikanan 1985 kerana tidak mempunyai lesen perikanan yang sah serta menggunakan dan memiliki peralatan menangkap ikan yang dilarang, iaitu bubu naga,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mohamad Shukri berkata kesemua kru termasuk tekong, bersama 19 unit bubu naga, ditahan dan dirampas sebelum diiringi ke Jeti Perikanan Kampung Acheh untuk diserahkan kepada Pegawai Penyiasat Maritim Malaysia bagi tindakan dan siasatan lanjut.
Dalam kes berasingan, sebuah lagi vesel nelayan tempatan ditahan kira-kira 2.58 pagi Sabtu lalu di kedudukan sekitar 3.4 batu nautika barat laut Batu Tanjung Hantu kerana disyaki menjalankan aktiviti perikanan tanpa lesen sah serta menggunakan peralatan menangkap ikan yang dilarang.
Pemeriksaan mendapati terdapat tiga kru termasuk tekong warga Malaysia berusia antara 38 hingga 42 tahun berada di atas vesel berkenaan.
Pemeriksaan lanjut mendapati vesel itu disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985 kerana tidak mempunyai lesen perikanan yang sah serta menggunakan dan memiliki peralatan menangkap ikan yang dilarang, iaitu bubu naga.
Kesemua kru termasuk tekong, bersama 87 unit bubu naga, ditahan dan dirampas sebelum vesel itu diiringi ke Jeti Perikanan Kampung Acheh untuk diserahkan kepada Pegawai Penyiasat Maritim Malaysia bagi tindakan dan siasatan lanjut.
“Secara keseluruhan, Maritim Malaysia merampas 106 unit bubu naga dalam kedua-dua kes berkenaan, ” katanya.