
JITRA, 4 Mei – Tindakan dua lelaki cuba menjadikan kawasan berhampiran tanah perkuburan cina di Sungai Pasir, Sungai Petani bagi mengaburi aktiviti memindahkan minyak diesel secara haram, gagal selepas kedua-duanya ditahan penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kedah pada Ahad.
- Aktiviti pemindahan minyak diesel dari lori kargo ke lori tangki dijalankan tanpa permit atau kebenaran menyimpan barang kawalan.
- Modus operandi: lori tangki dilengkapi dua tangki IBC, ditutup kanvas; minyak dipam dari tangki asal ke tangki IBC.
- Operasi hasil risikan dua minggu; pemandu lori tangki sempat melarikan diri ketika serbuan.
- Sitaan: 2,900 liter diesel dan barangan bernilai RM165,248; kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961.
Ketua Pegawai Penguat Kuasa KPDN Kedah Zalina Aziz berkata, dalam serbuan kira-kira pukul 2 petang itu, pihak berkuasa mendapati aktiviti pemindahan minyak diesel daripada sebuah lori kargo ke dalam lori tangki dilakukan tanpa permit atau kebenaran sah untuk menyimpan barang kawalan.
“Modus operandi bagi kes ini melibatkan penggunaan lori tangki yang dilengkapi dua tangki IBC di bahagian belakang, yang ditutup dengan kanvas. Minyak akan dikumpulkan oleh suspek sebelum dipindahkan menggunakan suis pam daripada tangki asal ke dalam tangki IBC di lori tersebut,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media di stor penyimpanan barang Eksibit Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup (KPDN) di Tunjang.
Operassi dilakukan hasil risikan selama dua minggu dan mendapati dua lelaki tempatan masing-masing berusia 50-an dan 40-an iaitu pemandu dan kelindan lori kargo bersama seorang lelaki pemandu lori tangki didapati sedang memindahkan minyak disyaki diesel daripada lori kargo yang mempunyai tangki IBC di bahagian belakang ke dalam lori tangki.
Bagaimanapun pemandu lori tangki berkenaan sempat melarikan diri ketika operasi dilakukan di kawasan itu.
Siasatan masih dijalankan bagi mengenal pasti sama ada diesel berkenaan dibeli untuk kegunaan industri atau diseludup ke luar negara, selain menyiasat sama ada bekalan tersebut dikumpulkan melalui pembelian dari beberapa stesen minyak.
Diesel dan barangan yang disita dianggarkan bernilai RM165,248. Sitaan melibatkan minyak sebanyak 2,900 liter dengan nilai RM 44,848.00, satu unit lori kargo, satu unit lori tangki, dua tong IBC serta peralatan yang digunakan untuk memindahkan minyak diesel.
Kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961.