
GEORGE TOWN, 16 November – Seorang doktor berusia 74 tahun yang hilang ketika melakukan aktiviti luncur angin (windsurfing) di perairan Tanjung Bungah semalam, ditemukan meninggal dunia pagi tadi.
- Mayat ditemukan terdampar di atas batu di pesisir berhampiran Straits Quay Retail Marina.
- Pencarian meliputi 94.76 batu nautika persegi, dibahagikan kepada lima sektor laut dan satu sektor udara.
- Mayat disahkan meninggal oleh pegawai perubatan KKM; selepas pengecaman waris, diserahkan kepada PDRM untuk tindakan lanjut.
Mangsa, Dr Khaw Chun Sein, 74 tahun, ditemukan kira-kira pukul 9.56 pagi pada hari kedua operasi mencari dan menyelamat (SAR).
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, John Sagun Francis berkata, mayat mangsa ditemukan terdampar di atas batu di pesisir pantai berhampiran Straits Quay Retail Marina.
“Pencarian meliputi kawasan seluas 94.76 batu nautika persegi yang dibahagikan kepada lima sektor pencarian laut dan satu sektor pencarian udara.
“Beberapa bot daripada agensi penyelamat serta sebuah helikopter APMM bagi membantu pencarian di sekitar lokasi terakhir mangsa dilaporkan hilang,” katanya menerusi kenyataan pada Isnin.
Sebelum ini, mangsa dilaporkan hilang ketika melakukan aktiviti luncur angin di perairan berhampiran Chinese Swimming Club, Tanjung Bungah semalam.
Mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Selepas pengecaman dibuat dan disahkan oleh waris, mayat mangsa diserahkan kepada PDRM untuk tindakan lanjut.
Operasi mencari dan menyelamat ditamatkan sepenuhnya pada pukul 10.30 pagi.