
KUALA LUMPUR, 16 November -Lelaki yang sebelum ini disyaki menyamar sebagai juruiring Raja Muda Selangor, hari ini dijatuhi hukuman penjara setahun dan dua sebatan oleh Mahkamah Majistret Kuala Lumpur di sini selepas mengaku bersalah atas dua pertuduhan penipuan membabitkan urusan pembelian hartanah.
- Majistret Amirul Asyraf Abdul Rasid menerima pengakuan bersalah Al Zulfadly.
- Kedua tertuduh didakwa menipu selebriti lelaki, mangsa kehilangan RM30,000 melalui dua pindahan ke akaun Al Zulfadly.
- Nurul Nur Syahirah mengaku tidak bersalah, dibenarkan jamin RM3,000 seorang penjamin; kes sebutan semula 16 Disember.
Majistret Amirul Asyraf Abdul Rasid menjatuhkan hukuman terhadap Al Zulfadly Alias, 40, selepas menerima pengakuan bersalah tertuduh.
Mahkamah turut memerintah hukuman penjara berjalan serentak bermula dari tarikh tangkapan.
Bagaimanapun, seorang lagi tertuduh yang juga tunangnya, Nurul Nur Syahirah Kamarudin, 37, mengaku tidak bersalah selepas kedua-dua pertuduhan terhadapnya dibacakan.
Mengikut pertuduhan, kedua-dua tertuduh didakwa secara bersama menipu seorang selebriti lelaki berhubung tawaran pembelian aset hartanah sehingga mendorong mangsa menyerahkan wang berjumlah RM30,000 menerusi dua transaksi pindahan kredit ke akaun bank milik Al Zulfadly.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di Jalan Wangsa Delima 11, Wangsa Maju, pada 10 dan 12 Mei 2024.
Kedua-dua mereka didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, yang memperuntuk hukuman penjara antara satu hingga 10 tahun, sebatan dan denda, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendali Timbalan Pendakwa Raya Nurul Farhanah Arul Hisham, manakala Al Zulfadly diwakili peguam Mohd Ridzwan Warisi dan Nurul Nur Syahirah diwakili peguam Shah Rizal Abdul Manan.
Timbalan Pendakwa Raya mencadangkan hukuman setimpal terhadap Al Zulfadly, manakala bagi Nurul Nur Syahirah, pihak pendakwaan mencadangkan jaminan sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin.
Bagaimanapun, peguam bela yang mewakili Al Zulfadly memohon mahkamah mengenakan hukuman penjara minimum atas alasan anak guamnya perlu menanggung ibunya.
Sementara itu, peguam bela yang mewakili Nurul Nur Syahirah turut memohon jaminan dikurangkan dengan mengambil kira anak guamnya tidak bekerja dan perlu menanggung ibu bapanya.
Mahkamah kemudian membenarkan Nurul Nur Syahirah diikat jamin sebanyak RM3,000 dengan seorang penjamin.
Kes itu ditetapkan untuk sebutan semula pada 16 Disember ini bagi tujuan penyerahan dokumen.