
KOTA BHARU, 29 Januari -Seorang bekas pengerusi eksekutif sebuah syarikat berkait perlombongan didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas 13 pertuduhan menyalahgunakan wang syarikat berjumlah RM485,500, tujuh tahun lalu.
- Bekas pengerusi eksekutif, Zahri Ismail, didakwa atas 13 pertuduhan menyalahguna wang syarikat berjumlah RM485,500 tujuh tahun lalu.
- Kes membabitkan transaksi di beberapa lokasi dan cawangan bank antara Julai hingga September 2019 di bawah Seksyen 403 Kanun Keseksaan.
- Mahkamah benarkan ikat jamin RM50,000, serahan passport, laporan bulanan ke SPRM dan sebutan semula kes pada 1 Mac.
Tertuduh, Zahri Ismail, 54 tahun, mengaku tidak bersalah selepas semua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Dazuki Ali.
Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, tertuduh didakwa menyalahgunakan wang milik Syarikat Dutamas Hijau Sdn Bhd.
Masing-masing berjumlah RM10,000 dan RM5,000 di CIMB Islamic Bank Berhad Cawangan Machang pada 27 dan 30 Julai 2019.
Bagi pertuduhan ketiga dan keempat pula, Zahri didakwa menyalahgunakan wang berjumlah RM160,000 dan RM152,500 di Kampung Banggol Petai, Machang, masing-masing pada 28 Julai dan 1 Ogos 2019.
Sementara itu, pertuduhan kelima hingga ke-13 melibatkan dakwaan penyalahgunaan harta milik syarikat yang sama di CIMB Islamic Bank Berhad Cawangan Jalan Maju, Kota Bharu.
Ia melibatkan beberapa transaksi berasingan antara 27 Julai hingga 17 September 2019, melibatkan jumlah keseluruhan RM158,000.
Kesemua pertuduhan dibuat bawah Seksyen 403 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun, selain sebatan dan denda, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Atirah Mohd Azuarizanuddin dan Alis Izzati Azurin Mohd Rusdi, manakala tertuduh diwakili peguam Wan Muhammad Hafiz Wan Zawawi.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM50,000 dengan seorang penjamin warganegara.
Selain, diarahkan menyerahkan pasport dan melapor diri di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kelantan setiap bulan.
Mahkamah menetapkan 1 Mac depan bagi sebutan semula kes.