
KUALA LUMPUR, 29 Januari -Bekas Ketua Pengarah Perisikan Pertahanan, Datuk Mohd Razali Alias, didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, atas tiga pertuduhan menerima suapan melibatkan wang US$20,000 serta bayaran tiket penerbangan bernilai RM64,600 bagi isterinya.
- Didakwa menerima suapan US$20,000 untuk meluluskan sijil dan penerimaan perkhidmatan berkaitan kontrak penyelenggaraan CDOC.
- Dakwaan turut melibatkan bayaran tiket penerbangan RM26,800 untuk isteri ke Malaga dan RM37,800 ke Estonia tanpa balasan.
- Diikat jamin RM50,000, pasport diserahkan, kes disambung sebutan pada 16 Mac; pertuduhan membawa hukuman penjara dan denda.
Tertuduh bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Suzana Hussin.
Bagi pertuduhan pertama, Datuk Mohd Razali didakwa menerima suapan US$20,000 daripada Sheikh Ahmad Nafiq Sheikh A. Rahman di Kem Kementah, di sini, antara Ogos hingga November 2024.
Suapan itu didakwa sebagai dorongan untuk meluluskan sijil pengesahan dan penerimaan perkhidmatan bagi pembayaran kontrak penyelenggaraan Sistem Pusat Operasi Pertahanan Siber (CDOC).
Pertuduhan tersebut dikemukakan mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009, yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun serta denda, jika sabit kesalahan.
Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa menerima bayaran RM26,800 bagi pembelian tiket penerbangan pergi dan balik Kuala Lumpur–Malaga, Sepanyol untuk isterinya, Datin Azarina Bakia, pada 15 November 2024.
Pertuduhan ketiga pula melibatkan bayaran RM37,800 bagi tiket penerbangan Kuala Lumpur–Estonia pada 28 April 2025, yang juga didakwa diterima tanpa balasan.
Kedua-dua pertuduhan tersebut dibuat mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Law Chin How, manakala tertuduh diwakili peguam Datuk Geethan Ram Vincent.
Mahkamah membenarkan Datuk Mohd Razali diikat jamin RM50,000 dengan seorang penjamin serta memerintahkan pasport diserahkan kepada mahkamah.
Sebutan semula kes ditetapkan pada 16 Mac ini.