528 warga asing ditahan di tapak pembinaan seluruh negara

Datuk Basri Othman

KUALA LUMPUR, 27 Ogos – Seramai 528 warga asing ditahan atas pelbagai kesalahan imigresen menerusi Op Sasar yang dijalankan di tapak pembinaan di seluruh negara sejak Selasa lepas hingga hari ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Op sasar mengesan dan tahan warga asing di tapak pembinaan atas pelbagai kesalahan imigresen.
  • Operasi melibatkan agensi pelbagai termasuk JIM, PDRM, JPN dan AADK susulan aduan orang awam.
  • Dikesan kemasukan warga Afrika ke sektor pembinaan, bekerja upah rendah dan tinggal di rumah kongsi, memerlukan perhatian siasatan.

Pengarah Bahagian Penguatkuasaan Imigresen Malaysia, Datuk Basri Othman berkata, daripada jumlah itu, 450 merupakan lelaki manakala 78 wanita berusia antara 29 hingga 54 tahun, dengan kewarganegaraan melibatkan Indonesia, Bangladesh, India, Myanmar, Nepal, China dan Burkina Faso.

“Hasil daripada operasi berkenaan, kita telah menjalankan pemeriksaan terhadap 678 orang dan tangkapan berjumlah 528 orang telah dibuat dalam operasi berkenaan bermula pada 25 Ogos hingga hari ini.

“Sementara itu, di Putrajaya sahaja, kita telah membuat pemeriksaan di satu lokasi dan menangkap seramai 31 individu berumur antara 29 hingga 54 tahun, terdiri daripada 28 lelaki dan tiga perempuan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita di lokasi operasi di Setiawangsa, di ibu negara hari ini.

Operasi itu membabitkan 414 anggota dan pegawai daripada Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK).

Ia dilaksanakan susulan aduan serta maklumat orang awam berkaitan kehadiran dan aktiviti warga asing di lokasi terbabit yang menimbulkan kebimbangan dalam kalangan komuniti setempat.

Antara kesalahan yang dikenal pasti termasuk tidak mempunyai dokumen pengenalan diri, melanggar syarat pas, tinggal lebih masa serta memiliki kad yang tidak diiktiraf, selain kesalahan lain bawah Akta Imigresen.

Dalam pada itu, sebanyak sembilan Borang 29 (Saman kepada Saksi) dikeluarkan kepada warga tempatan bagi membantu siasatan.

Mengulas mengenai operasi di Setiawangsa hari ini, beliau berkata pihaknya turut mengesan kemasukan warga asing dari negara Afrika ke sektor pembinaan.

Dua lelaki masing-masing warga Burkina Faso dan Togo ditahan ketika bekerja sebagai buruh binaan dalam serbuan berkenaan.

“Ini menunjukkan terdapat cubaan dalam kalangan warga negara Afrika untuk memasuki sektor pembinaan. Jika sebelum ini mereka kurang berminat bekerja dalam sektor berkenaan.

“Kini terdapat segelintir daripada mereka yang mula bekerja dalam sektor pembinaan. Perkara ini perlu kita beri perhatian bagi mengenal pasti faktor yang mendorong mereka memasuki sektor berkenaan,” katanya lagi.

Kedua-dua lelaki berusia 30-an itu menerima upah RM70 sehari dan tinggal bersama pekerja binaan lain di sebuah rumah kongsi.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.