11 ditahan disyaki ahli dua kumpulan kongsi gelap

Datuk Shazeli Kahar/ BERNAMA

SHAH ALAM, 27 Ogos – Polis menahan 11 individu dipercayai ahli dua kumpulan kongsi gelap, susulan pergaduhan di Taman Alam Megah, di sini, yang menyebabkan seorang lelaki maut pada 25 Ogos lalu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Lima suspek dikenakan reman tujuh hari, baki enam dibawa ke mahkamah untuk permohonan reman.
  • Siasatan awal mendapati pergaduhan dipercayai berpunca perebutan kawasan antara dua kumpulan kongsi gelap.
  • Seorang maut, beberapa cedera termasuk tiga masih dirawat; polis mengesan lagi suspek dan menyiasat latar belakang kumpulan.

Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, daripada jumlah itu, lima suspek telah dikenakan perintah tahanan reman selama tujuh hari.

Baki enam suspek lagi akan dibawa ke mahkamah hari ini bagi permohonan reman polis turut mengambil keterangan daripada saksi dan pihak berkaitan bagi membantu siasatan.

“Kita percaya terdapat beberapa aktiviti perniagaan yang dijalankan di kawasan tersebut dan kita sedang melihat perkara itu dari aspek perniagaan. Bagaimanapun, siasatan masih dijalankan dan belum dapat ditentukan sepenuhnya kerana kita percaya kumpulan berkenaan masih baharu.

“Jadi, kita memerlukan sedikit masa untuk mengesahkan latar belakang kumpulan tersebut serta aktiviti perniagaan yang dikatakan menjadi punca perebutan kawasan berkenaan,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Siasatan awal mendapati kejadian dipercayai berpunca daripada permusuhan atau perebutan kawasan antara dua kumpulan kongsi gelap yang beroperasi di sekitar Shah Alam.

Bagaimanapun, polis masih menyiasat bagi mengesahkan motif sebenar, termasuk kemungkinan ia berkaitan aktiviti perniagaan di kawasan berkenaan.

Dalam kejadian itu, seorang lelaki maut manakala beberapa individu lain cedera dan tiga daripadanya masih menerima rawatan di hospital.

Datuk Shazeli berkata, terdapat beberapa lagi suspek yang masih bebas dan sedang dikesan, namun identiti serta butiran mereka telah dikenal pasti.

Polis turut menjalankan siasatan bagi mengesahkan latar belakang kedua-dua kumpulan berkenaan termasuk kemungkinan penglibatan ketua kumpulan.

Dalam pada itu, beliau mengesahkan kejadian berkenaan setakat ini tidak mempunyai kaitan dengan insiden membakar mercun di Setia Alam.

Kes masih dalam siasatan dan perkembangan lanjut akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.