Pusat panggilan scam diserbu, 40 individu ditahan

Foto BERNAMA

SHAH ALAM, 27 Ogos – Polis Selangor menahan 40 individu dalam lima serbuan berasingan membabitkan premis yang dipercayai dijadikan pusat panggilan (call centre) bagi menjalankan kegiatan penipuan, termasuk love scam dan phone scam.

RINGKASAN BERITA AI
  • Operasi JSJK Selangor bersama Bahagian Siasatan Jenayah Komersial dijalankan di empat daerah antara 18 hingga 20 Ogos.
  • Tangkapan melibatkan lima wanita dan 35 lelaki; 37 warga asing dan tiga warga tempatan, dipercayai berperanan sebagai operator.
  • Rampasan teknologi dan wang dianggarkan bernilai RM1.165 juta termasuk komputer, 175 telefon bimbit, iPad, laptop, penghala, modem dan buku skrip.
  • Sindiket dipercayai beroperasi sejak pertengahan tahun, menyasarkan Taiwan, China, Jepun, Hong Kong; suspek masuk guna pas pelancong, direman untuk siasatan.

Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, operasi itu dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Selangor bersama Bahagian Siasatan Jenayah Komersial di empat daerah antara 18 hingga 20 Ogos lalu.

Menurutnya, dua serbuan dilakukan di Sungai Buloh, manakala masing-masing satu serbuan di Shah Alam, Kajang dan Subang Jaya.

Mereka yang ditahan terdiri daripada lima wanita dan 35 lelaki, dengan 37 daripadanya merupakan warga asing, iaitu lima wanita dan 32 lelaki, manakala tiga lagi lelaki adalah warga tempatan.

Kesemua suspek dipercayai berperanan sebagai operator khidmat pelanggan kepada sindiket berkenaan.

Dalam serbuan itu, polis turut merampas pelbagai peralatan teknologi maklumat dan elektronik yang dianggarkan bernilai kira-kira RM1.165 juta.

Antara barangan dirampas 14 komputer, tujuh iPad, 175 telefon bimbit, lima komputer riba, 10 buku yang dipercayai mengandungi skrip penipuan, enam modem, 11 penghala (router) serta sejumlah wang tunai.

Polis turut merampas sebuah kad kuasa yang dipercayai menyerupai kad kuasa polis dari sebuah negara asing, 23 pasport dan sebuah kenderaan Perodua Alza.

Hasil siasatan awal mendapati sindiket berkenaan dipercayai mula beroperasi sejak pertengahan tahun ini dengan menyasarkan mangsa dari Taiwan, China, Jepun dan Hong Kong.

Selain love scam dan phone scam, sindiket turut dipercayai menjalankan kegiatan penipuan dengan menyamar sebagai pegawai polis dari negara asing serta menawarkan langganan video lucah menerusi laman sesawang tertentu.

Datuk Shazeli berkata, kesemua suspek dipercayai memasuki Malaysia menggunakan pas pelancong, namun semakan lanjut dengan Jabatan Imigresen sedang dijalankan bagi mengesahkan status dan dokumen perjalanan mereka.

Kesemua suspek kini direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 420 dan Seksyen 120B Kanun Keseksaan.

Orang ramai diminta menyalurkan maklumat sekiranya mengesan sebarang aktiviti mencurigakan yang dipercayai mempunyai kaitan dengan operasi pusat panggilan penipuan di kawasan kediaman atau premis perniagaan.

Maklumat berkenaan penting bagi membolehkan pihak berkuasa mengambil tindakan segera terhadap kegiatan yang boleh mengancam keselamatan serta kepentingan orang ramai.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.