164 server Bitcoin disita, empat premis disyaki curi elektrik

Anggota penguat kuasa MDSB memeriksa pelayan yang disita / Foto Majlis Daerah Sabak Bernam

SHAH ALAM, 8 Ogos – Sebanyak 164 pelayan (server) perlombongan mata wang digital Bitcoin disita dalam operasi bersepadu Majlis Daerah Sabak Bernam (MDSB) dan Tenaga Nasional Berhad (TNB) di empat premis sekitar Sungai Besar dan Pekan Sabak Bernam, semalam.

RINGKASAN BERITA AI
  • Premis disyaki menjalankan perlombongan Bitcoin tanpa kebenaran dan mencuri bekalan elektrik.
  • Tindakan tegas diambil untuk membanteras jenayah tenaga dan pelaburan digital tanpa lesen.
  • Operasi bersama MDSB dan TNB diteruskan; orang ramai diminta menyalurkan maklumat mengenai kegiatan mencurigakan.

MDSB dalam kenyataan memaklumkan, hasil pemeriksaan mendapati kesemua premis terbabit disyaki menjalankan aktiviti perlombongan Bitcoin tanpa kebenaran selain mencuri bekalan elektrik bagi mengendalikan operasi berkenaan.

“Tindakan tegas telah diambil bagi membanteras jenayah tenaga dan pelaburan digital tanpa lesen. Susulan itu, sebanyak 164 pelayan disita dan tindakan penguatkuasaan diambil bagi membanteras kegiatan perlombongan mata wang digital serta kecurian tenaga,” menurut kenyataan itu.

Operasi bermula pukul 5 petang hingga tengah malam tersebut, diketuai Timbalan Yang Dipertua MDSB dengan disertai 11 anggota penguat kuasa majlis, sembilan pegawai TNB dan 15 anggota teknikal.

MDSB berkata, kerjasama dengan TNB akan diteruskan menerusi operasi penguatkuasaan secara berterusan bagi membendung kegiatan yang melanggar undang-undang.

Orang ramai turut diminta menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa sekiranya mengesan premis yang disyaki menjalankan kegiatan perlombongan mata wang digital atau membuat penyambungan bekalan elektrik secara haram.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.