Dialog Negara teliti rasional reformasi, keutamaan rakyat

Foto Jabatan Perdana Menteri

KUALA LUMPUR, 26 November – Dialog Negara Khas bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang berlangsung malam tadi memberi tumpuan kepada pertimbangan di sebalik keputusan kerajaan, rasional pelaksanaan reformasi serta penyesuaian dasar berdasarkan harapan rakyat.

RINGKASAN BERITA AI
  • Ketelusan dan akauntabiliti diperkukuh apabila rakyat memahami rasional keputusan kerajaan.
  • Reformasi memerlukan penyelarasan agensi, pengurangan birokrasi dan pemantauan berterusan agar manfaatnya dirasai rakyat.
  • Maklum balas serta keluhan masyarakat perlu disusuli tindakan dan diambil kira dalam penambahbaikan dasar.

Perbincangan turut menyentuh hala tuju Malaysia pada masa hadapan, sekali gus membuka ruang untuk meneliti bagaimana dasar dan keputusan kerajaan dirangka berdasarkan keperluan semasa serta kepentingan negara.

Pensyarah Kanan, Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, Universiti Teknologi MARA (UiTM), Dr. Mazlan Che Soh berkata, pendekatan itu penting dalam memastikan proses membuat keputusan kerajaan dapat difahami dengan lebih jelas oleh masyarakat.

“Dalam demokrasi yang matang, rakyat bukan sahaja berhak mengetahui apa yang diputuskan, tetapi juga perlu memahami mengapa keputusan itu dibuat dan apakah rasionalnya. Dialog ini penting untuk memperkukuh ketelusan dan akauntabiliti kerajaan,” katanya kepada RTM.

Beliau berkata, pelaksanaan reformasi pula memerlukan penyelarasan antara agensi kerajaan, pengurangan kerenah birokrasi serta pemantauan berterusan bagi memastikan dasar yang diperkenalkan dapat dilaksanakan dengan berkesan.

“Kejayaan reformasi sebenarnya bukan diukur melalui jumlah dasar yang diumumkan, tetapi perubahan yang benar-benar dirasai oleh rakyat. Kerajaan perlu mendengar dan menyesuaikan dasar berdasarkan harapan masyarakat, namun perlu mengimbangi tuntutan rakyat dengan kemampuan negara serta kepentingan jangka panjang,” tambah beliau.

Sementara itu, Pensyarah Kanan, Jabatan Pengajian Kenegaraan dan Ketamadunan, Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr. Nur Ayuni Mohd Isa berkata, penglibatan masyarakat dalam dialog seumpama itu dapat membantu merapatkan jurang antara pemimpin dengan rakyat.

“Dialog terbuka memberi pendekatan yang sangat baik dalam merapatkan jurang antara masyarakat dengan pemimpin. Ia membuka ruang komunikasi dua hala apabila pemimpin dapat memberikan maklumat dan mendengar perkara yang ingin disampaikan serta keluhan rakyat.” jelasnya.

Beliau berkata, keberkesanan sesuatu reformasi juga perlu dilihat berdasarkan keupayaannya menangani cabaran pelaksanaan, bukan sekadar matlamat yang digariskan pada peringkat perancangan.

“Dialog tidak seharusnya terhenti dengan sesi soal jawab secara langsung sahaja. Sebaliknya, keluhan masyarakat perlu diberi perhatian dan disusuli dengan tindakan yang sewajarnya,” ujar beliau.

Justeru, maklum balas yang diperoleh melalui dialog perlu diberi perhatian dalam proses penambahbaikan dasar bagi memastikan agenda reformasi negara terus bergerak seiring dengan keperluan masyarakat.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.