
KUALA LUMPUR, 26 November – Sebanyak 97.84 peratus graduan Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Seri Iskandar mencapai kadar kebolehpasaran pada tahun ini.
- Kadar kebolehpasaran merangkumi graduan yang bekerja, melanjutkan pengajian atau mengikuti latihan peningkatan kemahiran.
- Kurikulum diselaraskan dengan keperluan industri berasaskan NOSS, disokong 63 jalinan kerjasama industri setakat 31 Oktober 2026.
- IKBN Seri Iskandar menawarkan bidang teknologi elektrik, teknologi elektronik dan teknologi maklumat elektronik.
- Program pertanian belia menyediakan latihan, khidmat nasihat teknikal dan peluang keusahawanan, termasuk akses kepada Skim Agropreneur Next Gen.
Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Mordi anak Bimol berkata, kadar kebolehpasaran itu merangkumi graduan yang bekerja, melanjutkan pengajian atau mengikuti latihan peningkatan kemahiran.
Katanya, pencapaian itu disokong pelaksanaan kurikulum latihan yang diselaraskan dengan keperluan industri berasaskan Standard Kemahiran Pekerjaan Kebangsaan (NOSS), selain kerjasama strategik dengan pihak industri.
“Selain itu, KBS turut menjalinkan kerjasama strategik dengan pihak industri dan sehingga 31 Oktober 2026, sebanyak 63 jalinan kerjasama telah diwujudkan.
“Bagi IKBN Seri Iskandar, institusi itu menawarkan tiga bidang utama iaitu teknologi elektrik, teknologi elektronik dan teknologi maklumat elektronik,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Katanya, KBS bersedia memperkukuh kerjasama dengan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) serta Kerajaan Negeri Perak bagi memudahkan golongan belia mendapatkan akses kepada tanah terbiar, latihan kemahiran dan bantuan teknologi pertanian.
“KBS melalui Institusi Latihan Kemahiran Belia dan Sukan (ILKBS) telah melaksanakan program MyFuture iaitu MyFuture Agro@ILKBS pada tahun 2021.
“Di Perak, KBS melalui Akademi Pembangunan Belia Malaysia (APBM) Batu Gajah turut melaksanakan Program Strategik Ekonomi Belia Teknik Penanaman Nanas pada tahun ini dengan kerjasama Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia Negeri Perak,” tambahnya.
Katanya, program itu menyediakan latihan, khidmat nasihat teknikal serta peluang keusahawanan kepada belia, termasuk akses kepada Skim Agropreneur Next Gen.