
BUKIT KAYU HITAM, 8 Ogos – Penemuan sebuah bagasi yang disyaki mengandungi dadah dan bahan letupan menggemparkan Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam, di sini, semalam.
- Bagasi ditinggalkan di ruang pemeriksaan Imigresen/Kastam Blok B kira-kira jam 5.55 petang dan dibawa ke mesin pengimbas selepas tiada tuntutan.
- Unit Pemusnah Bom IPK Kedah tiba kira-kira jam 8.45 malam untuk menilai risiko dan meneutralkan bagasi demi keselamatan nyawa.
- Kompleks ICQS ditutup antara jam 9.30 hingga 11.30 malam bagi membolehkan proses meneutralkan bagasi dijalankan.
- Bagasi dibuka kira-kira jam 11 malam; tiada unsur bahan letupan ditemui, hanya pakaian, minyak, pengering rambut hitam, syampu dan losyen.
Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintenden Mohd Radzi Abdul Rahim berkata, bagasi berwarna merah jambu itu ditemukan ditinggalkan di ruang pemeriksaan Imigresen/Kastam Blok B kira-kira jam 5.55 petang, sebelum dibawa ke mesin pengimbas selepas tiada individu tampil menuntutnya.
Menurut beliau, hasil imbasan pihak Kastam mendapati imej di dalam bagasi itu dipercayai mengandungi bahan disyaki dadah dan bahan letupan.
“Unit Pemusnah Bom (UPB) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah tiba di lokasi kira-kira jam 8.45 malam bagi menjalankan proses meneutralkan bagasi selepas menilai risiko di sekitar kawasan bangunan dengan mengutamakan keselamatan nyawa,” katanya dalam satu kenyataan.
Mohd Radzi berkata, Kompleks ICQS terbabit ditutup dari jam 9.30 hingga 11.30 malam bagi membolehkan proses meneutralkan bagasi dijalankan.
Bagaimanapun, katanya, bagasi itu berjaya dibuka kira-kira jam 11 malam dan pemeriksaan mendapati tiada unsur bahan letupan di dalamnya.
“Pemeriksaan lanjut mendapati bagasi itu mengandungi pakaian, minyak dalam bekas, pengering rambut berwarna hitam, syampu dan losyen,” katanya.