Jenazah Lans Koperal Mohamad Nur Hafiz selamat dikebumikan

Foto RTM

KOTA BHARU, 8 Ogos – Jenazah Lans Koperal Mohamad Nur Hafiz Rahim, 29 tahun, yang maut dipercayai akibat renjatan elektrik di Beaufort, Sabah, pada Khamis lalu, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Pangkal Kuang, Ketereh, di sini pagi tadi.

RINGKASAN BERITA AI
  • Keluarga berterima kasih kepada PDRM dan pihak lain yang memudahkan urusan membawa pulang jenazah ke kediaman keluarga.
  • Panggilan video terakhir kepada ibu; beliau berkata penat, kurang respons tetapi sempat senyum dan janji sambung sembang selepas kerja.
  • Bersama dua anggota lain, beliau maut dipercayai selepas terkena renjatan elektrik ketika mengalihkan galah besi di luar Balai Polis Weston.

Kakak sulung Allahyarham, Nurlella Rahim, 34 tahun, berkata, keluarganya berterima kasih kepada semua pihak yang membantu memudahkan urusan membawa pulang jenazah adiknya ke kediaman keluarga di Kampung Hutan Pasir.

“Jenazah tiba pada 4.45 pagi. Saya berterima kasih kepada PDRM yang banyak membantu dan memudahkan urusan adik saya dari awal hingga akhir,” katanya.

Nurlella memaklumkan, panggilan video terakhir Allahyarham kepada ibu mereka dibuat pada petang Khamis sebelum kejadian.

“Ketika itu, dia ada cakap penat dan kurang respons tetapi masih sempat senyum. Dia cakap dengan mama tidak apa, nanti sambung sembang semula sebab hendak masuk kerja,” katanya.

Panggilan video terakhir beliau dengan adiknya pula dibuat pada Ahad lalu ketika Allahyarham membawa isterinya, Fatimah Shahira, dan anak mereka ke pantai.

Allahyarham Lans Koperal Mohamad Nur Hafiz bersama dua lagi anggota, Koperal Chiu Teck Siong, 40 tahun, dan Konstabel Muhammad Raimi Ismarubee, 26 tahun, maut selepas dipercayai terkena renjatan elektrik.

Kejadian berlaku ketika mangsa sedang mengalihkan galah besi di luar Balai Polis Weston berhampiran Sekolah Kebangsaan Weston.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.