Ketamin dalam kartrij vape antara dadah dirampas, seorang lelaki ditahan

Foto Polis Daerah Perak Tengah

SERI ISKANDAR, 8 Ogos – Seorang lelaki ditahan selepas polis merampas pelbagai jenis dadah termasuk ketamin dalam 41 kartrij vape yang dianggarkan bernilai RM29,991.50 dalam serbuan di sebuah rumah di Kampung Gajah, Perak, Rabu lalu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Serbuan JSJN IPK Perak pada 6 Ogos kira-kira pukul 9.30 malam selepas menerima maklumat.
  • Ditemukan heroin 146.33g, methamphetamine 24.70g dan 170 pil Erimin 5 seberat 53.38g.
  • Suspek diuji positif methamphetamine; kereta, motosikal dan wang tunai RM3,372 disita; direman tujuh hari bagi membantu siasatan.

Serbuan dilakukan sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak kira-kira pukul 9.30 malam pada 6 Ogos lalu selepas menerima maklumat berkaitan kegiatan dadah.

Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintenden Hafezul Helmi Hamzah berkata, suspek lelaki itu ditahan di ruang tamu rumah di Lot 5774, Kampung Teluk Saga, Kampong Gajah yang membawa kepada penemuan sembilan paket plastik lutsinar mengandungi bahan disyaki heroin dengan berat kasar 146.33 gram.

Turut dirampas ialah enam paket plastik lutsinar berisi bahan disyaki methamphetamine seberat 24.70 gram serta 17 keping aluminium foil yang mengandungi 170 biji pil disyaki Erimin 5 dengan berat kasar 53.38 gram.

“Polis turut menemukan 41 paket plastik bergambar kartun yang setiap satunya mengandungi satu kartrij vape berisi cecair disyaki mengandungi dadah jenis ketamin.

“Keseluruhan cecair itu dianggarkan seberat 360.80 gram dengan isipadu 123 mililiter dan nilai keseluruhan dianggarkan RM29,991.50,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Hafezul Helmi berkata, ujian saringan air kencing terhadap suspek mendapati lelaki itu positif dadah jenis methamphetamine.

Katanya, polis turut menyita sebuah kereta Proton Waja, sebuah motosikal Honda RS150 serta wang tunai berjumlah RM3,372 di bawah Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 39B dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952. Suspek direman selama tujuh hari bermula 7 hingga 13 Ogos ini bagi membantu siasatan,” katanya.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.