13 individu direman, suspek dalangi kartel tonto lindungi lori haram

Foto hiasan/RTM

KUALA LUMPUR, 25 Februari– Tiga belas individu termasuk tiga anggota penguat kuasa direman kerana disyaki mendalangi kartel tonto berkaitan aktiviti rasuah bagi melindungi pemilik-pemilik lori yang beroperasi di seluruh semenanjung negara.

RINGKASAN BERITA AI
  • Tiga belas individu, termasuk tiga anggota penguat kuasa, direman disyaki mendorong kartel tonto melindungi lori haram.
  • Operasi bersepadu SPRM dan JPJ serbu 14 kediaman, 18 syarikat; rampas dokumen dan barangan berkaitan sindiket.
  • SPRM membekukan 71 akaun kira-kira RM4 juta dan menyita wang tunai serta kenderaan; siasatan di bawah Seksyen 17(b).

Perintah reman selama tiga hari hingga 27 Februari 2026 dikeluarkan Majistret Ezrene Zakariah terhadap kesemua suspek selepas permohonan dibuat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Mahkamah Majistret Putrajaya pagi tadi.

Seramai 12 suspek lelaki dan seorang wanita berusia antara 30 hingga 50-an telah ditahan antara pukul 9 pagi higga 10 malam semalam ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya dan Lembah Klang.

Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Perisikan SPRM, Datuk Saiful Ezral Arifin menerusi satu kenyataan memaklumkan satu operasi bersepadu telah diadakan semalam bersama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) membabitkan serbuan ke atas 14 kediaman dan 18 syarikat sekitar Lembah Klang.

Kesemua premis tersebut katanya disyaki menyimpan segala dokumen berkaitan pemberian rasuah kepada ejen dan orang tengah yang dipercayai aktif menjalankan kegiatan tersebut sejak tahun 2013.

“Kesemua suspek disyaki menjadi ejen dan orang tengah yang menawarkan dan memberi rasuah antara RM100 hingga RM4,500 setiap bulan kepada anggota penguatkuasa JPJ Kuala Lumpur dan Selangor sebagai balasan untuk melindungi dan tidak mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap lori-lori mereka di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333),” katanya.

Sindiket dipercayai menggunakan modus operandi dengan memasukkan wang rasuah ke dalam akaun keldai dan kemudian dikeluarkan oleh anggota penguat kuasa yang terlibat.

Dalam serbuan semalam, SPRM membekukan 71 akaun yang terdiri daripada 53 akaun individu dan 18 akaun syarikat berjumlah kira-kira RM4 juta.

Selain itu, SPRM turut menyita pelbagai barangan antaranya 26 unit telefon bimbit, 32 unit walkie talkie, 13 unit kereta dan wang tunai RM330,000, 25 juta rupiah dan SGD$7,000

Kes disiasat bawah Seksyen 17(b) Akta SPRM 2009.