SPRM tahan reman 10 individu dalangi kartel tonto Semenanjung

Foto BERNAMA

PUTRAJAYA, 25 Februari — Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini menahan reman 10 individu disyaki mendalangi kartel tonto, dipercayai terbabit dalam kegiatan rasuah bagi melindungi pemilik lori yang beroperasi di seluruh Semenanjung.

RINGKASAN BERITA AI
  • SPRM tahan reman 10 individu disyaki dalangi kartel tonto melindungi pemilik lori di Semenanjung.
  • Pemeriksaan mendedahkan penglibatan pegawai dan anggota penguat kuasa daripada pelbagai agensi.
  • Dalang beri rasuah bulanan RM1,600 hingga RM2,500 kepada anggota penguat kuasa terbabit.
  • Sindiket kawal pergerakan lori, guna akaun keldai dan kad ATM untuk sembunyikan transaksi.

Menurut sumber, hasil soal siasat terhadap suspek utama mendedahkan kegiatan tonto atau ‘orang tengah’ itu melibatkan pegawai dan anggota penguat kuasa daripada pelbagai agensi.

SPRM dilaporkan telah memperoleh senarai nama pegawai dan anggota agensi penguat kuasa yang dipercayai bersekongkol dengan sindiket berkenaan.

Siasatan awal mendapati dalang utama sindiket memberi rasuah bulanan antara RM1,600 hingga RM2,500 kepada anggota penguat kuasa yang terlibat.

Bayaran itu dipercayai bertujuan mengaburi mata pihak berkuasa daripada mengambil tindakan tegas terhadap kenderaan perdagangan yang melakukan kesalahan jalan raya.

Sindiket tersebut dipercayai mengawal pergerakan lori perdagangan dari selatan ke utara serta di Pantai Timur.

Mereka menggunakan modus operandi dengan memasukkan wang rasuah ke dalam akaun keldai milik individu tertentu, sebelum kad mesin ATM diserahkan kepada anggota penguat kuasa bagi mengelakkan kegiatan dikesan.

Pengarah Kanan Bahagian Perisikan SPRM, Datuk Saiful Ezral Arifin, ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut.