
KUALA KEDAH, 14 Oktober – Lebih 8,000 liter minyak diesel tanpa dokumen sah serta sebuah lori dirampas, dengan nilai keseluruhan dianggarkan RM89,148 pada Selasa hasil kerjasama strategik antara Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kedah dan Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Satu di sini.
- Lori disita selepas pemandu gagal mengemukakan dokumen sah bagi minyak diesel yang ditemui.
- Siasatan premis perniagaan menunjukkan kegagalan mematuhi syarat lesen barang kawalan dan tidak menyelenggara buku stok.
- Dua tindakan diambil di bawah Seksyen 21, Akta Kawalan Bekalan 1961.
- KPDN Kedah menegaskan kerjasama dengan agensi penguatkuasaan dan menggesa orang ramai melaporkan maklumat penyelewengan.
Pengarah KPDN Kedah, Muhammad Nizam Jamaludin dalam kenyataan memaklumkan, dalam operasi tersebut, Pasukan Polis Marin telah menahan sebuah lori di kawasan Kuala Kedah selepas didapati berada dalam keadaan mencurigakan.
“Pemeriksaan lanjut menemukan 8,190 liter cecair disyaki minyak diesel, manakala pemandu gagal mengemukakan dokumen sah berkaitan bekalan tersebut.
“Susulan itu, pemeriksaan lanjut turut dijalankan di sebuah premis perniagaan di Kuala Kedah. Hasil pemeriksaan mendapati, terdapat ketidakpatuhan terhadap syarat lesen barang kawalan, melibatkan kegagalan menyelenggara buku stok barang kawalan,” menurut kenyataan itu.
Sebanyak dua tindakan kes telah diambil bawah Seksyen 21, Akta Kawalan Bekalan 1961.
KPDN Kedah terus komited memperkukuh kerjasama dengan agensi penguatkuasaan bagi membanteras penyelewengan barang kawalan serta memastikan bekalan bersubsidi tidak disalahgunakan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti penyelewengan barang kawalan diseru untuk menyalurkan aduan kepada KPDN melalui saluran rasmi.