
LABUAN, 4 Februari- Seramai 10 warganegara China ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Labuan kerana gagal mengemukakan dokumen perjalanan atau pas yang sah.
- 10 warga China ditahan kerana gagal kemukakan dokumen perjalanan atau pas yang sah.
- Operasi Op Sapu dijalankan di empat lokasi taman perumahan sekitar Labuan awal pagi.
- 20 individu diperiksa; 15 lelaki dan 5 wanita, 10 didapati langgar Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen.
- Siasatan melibatkan aksi kejar-mengejar; semua ditahan dibawa ke lokap IPD Labuan untuk tindakan lanjut.
Pengarah JIM Labuan, Raymond Entalai memaklumkan penahanan dilakukan menerusi Op Sapu di empat lokasi kediaman sekitar taman perumahan di sini awal pagi Selasa.
Operasi bermula kira-kira pukul 12.00 tengah malam hingga 1.30 pagi. Operasi berkenaan dilaksanakan hasil maklumat awam dan risikan pihak JIM Labuan.
Seramai 20 individu diperiksa dalam operasi tersebut terdiri daripada 15 lelaki dan lima wanita, kesemuanya warganegara China.
Hasil pemeriksaan mendapati 10 individu gagal mengemukakan dokumen berkenaan dan disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155).
“Semasa pemeriksaan dijalankan, beberapa individu telah bertindak cuba melarikan diri melalui pintu belakang rumah. Aksi kejar-mengejar telah berlaku, namun pegawai operasi JIM WP Labuan berjaya menahan individu terbabit tanpa sebarang insiden yang tidak diingini,” katanya dalam kenyataan.
Kesemua individu yang ditahan dibawa ke lokap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Labuan untuk tindakan lanjut.