Datuk Azizulhasni sedia menanti cabaran Lavreysen di Nilai

Datuk Azizulhasni Awang/BERNAMA

NILAI, 20 April– Jaguh pecut berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang teruja untuk berdepan juara Olimpik dari Belanda, Harrie Lavreysen pada saingan Piala Dunia Berbasikal Trek UCI 2026 yang berlangsung di Velodrom Nasional Nilai dari 24 hingga 26 April ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kemenangan Lavreysen dalam acara keirin di Hong Kong mengukuhkan reputasinya dan menimbulkan keterujaan Azizul untuk berlumba dengannya.
  • Azizul tidak menyertai saingan di Hong Kong bagi memberi tumpuan penuh kepada kejohanan yang bakal dihadapi.
  • Format baharu, peningkatan penyertaan dan kehadiran pelumba antarabangsa seperti Matthew Richardson, Nicholas Paul, Ota Kaiya dan Leigh Hoffman tingkatkan kesukaran.

Beliau menjangkakan kehadiran pelumba bertaraf dunia seperti Lavreysen yang juga pemenang lima pingat emas Olimpik akan menjadikan saingan di gelanggang sendiri lebih sengit.

“Harrie beraksi sangat baik dalam acara keirin di Hong Kong itu membuatkan saya lebih teruja untuk berlumba dengannya di Malaysia,” katanya.

Lavreysen sebelum ini muncul juara acara keirin pada pusingan Piala Dunia di Hong Kong, sekali gus mengukuhkan reputasinya sebagai antara pelumba terbaik dunia.

Datuk Azizulhasni yang tidak menyertai saingan di Hong Kong memilih untuk memberi fokus sepenuhnya kepada kejohanan di Nilai minggu ini.

Dalam masa sama, beliau menjangkakan format baharu pertandingan serta peningkatan jumlah penyertaan akan menjadikan cabaran kali ini lebih mencabar buat semua pelumba.

Selain Lavreysen, beberapa lagi pelumba ternama dunia turut dijadualkan beraksi termasuk Matthew Richardson, Nicholas Paul, Ota Kaiya dan Leigh Hoffman.