Pelabur asing kekal sebagai pembeli bersih pasaran Asia

Foto hiasan

KUALA LUMPUR, 20 April – Pelabur asing kekal sebagai pembeli bersih bagi minggu kedua berturut-turut merentas lapan pasaran Asia, dengan jumlah aliran masuk bersih asing sebanyak AS$4.39 bilion (RM17.35 bilion).

RINGKASAN BERITA AI
  • Institusi asing di Bursa Malaysia bertukar menjadi penjual bersih pada tiga daripada lima hari dagangan dengan aliran keluar RM63.7 juta.
  • Sektor utama menerima aliran masuk asing: perkhidmatan kewangan, tenaga, perladangan; keluar: utiliti, penjagaan kesihatan, produk dan perkhidmatan pengguna.
  • Institusi tempatan muncul sebagai pembeli bersih dengan aliran masuk RM273.3 juta; pelabur runcit kembali penjual bersih, keluar RM209.6 juta.

Menurut MBSB Investment Bank Bhd (MBSB IB), aktiviti pembelian bersih didahului Taiwan dan India, manakala jualan bersih diterajui Korea Selatan, Thailand, Vietnam, Indonesia, Filipina dan Malaysia.

Bank pelaburan itu dalam kenyataan memaklumkan, institusi asing di Bursa Malaysia bertukar menjadi penjual bersih pada tiga daripada lima hari dagangan sepanjang minggu tersebut dengan aliran keluar berjumlah RM63.7 juta.

“Aliran keluar terbesar direkodkan pada Rabu (RM102.3 juta), diikuti Khamis (RM87.5 juta) dan Jumaat (RM59 juta).

“Tiga sektor utama yang mencatat aliran masuk bersih asing ialah perkhidmatan kewangan (RM342 juta), tenaga (RM37.2 juta) dan perladangan (RM32.3 juta).

“Sementara itu, tiga sektor utama yang mencatat aliran keluar bersih asing ialah utiliti (RM103.7 juta), penjagaan kesihatan (RM99.1 juta) serta produk dan perkhidmatan pengguna (RM79.5 juta),” menurut MBSB dalam laporan aliran dana bagi minggu berakhir 17 April 2026.

MBSB IB turut menjelaskan bahawa institusi tempatan menamatkan aliran jualan bersih untuk tiga minggu berturut-turut apabila muncul sebagai pembeli bersih dengan aliran masuk bersih sebanyak RM273.3 juta.

Sebaliknya, pelabur runcit kembali menjadi penjual bersih dengan aliran keluar bersih sebanyak RM209.6 juta.

“Purata volum dagangan harian menunjukkan prestasi bercampur-campur dengan pelabur runcit meningkat 6.4 peratus, institusi tempatan susut 1.9 peratus dan institusi asing mencatat peningkatan 9.8 peratus,” menurut laporan itu.