
KUALA LUMPUR, 20 April – Lebih 1.27 bilion urus niaga direkodkan menerusi sistem e-Invois di Malaysia, setakat ini.
- Penyertaan hampir 225,000 pembayar cukai dari seluruh negara menyokong penggunaan sistem e-Invois.
- e-Invois dianggap inisiatif penting yang boleh memangkin perkembangan perniagaan.
- Perlu sokongan agensi berkaitan dan pendekatan keseluruhan kerajaan untuk mewujudkan ekosistem menyeluruh.
- LHDN digalakkan meningkatkan pelaburan serta memperbaiki sistem dan infrastruktur ICT agar lebih mesra pengguna.
Timbalan Menteri Kewangan, Liew Chin Tong berkata, ia melibatkan penyertaan hampir 225,000 pembayar cukai di seluruh negara.
Menurut beliau, e-Invois merupakan inisiatif penting yang berupaya memangkin perkembangan perniagaan.
Bagi memastikan misi itu tercapai, sokongan agensi berkaitan amat diperlukan.
“Saya harap kita boleh ada amalkan pendekatan keseluruhan kerajaan supaya apabila kita lancarkan satu program atau satu inisiatif, ia disambut agensi-agensi lain supaya ekosistem menyeluruh dapat diwujudkan,” katanya pada majlis pelancaran Karnival Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) dan e-Invois, di sini.
Beliau turut berharap Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) terus mempertingkat pelaburan bagi menambah baik sistem sedia ada agar lebih mesra pengguna.
Pada masa sama, memperkukuh infrastruktur teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) supaya kekal pada tahap terbaik.