10 kontena mengandungi e-waste lebih 251 tan dikesan di Pelabuhan Klang

FOTO AKPS Pelabuhan Klang

KLANG, 9 April – Sebanyak 10 kontena dagangan yang mengandungi sisa elektronik (e-waste) dan bahan buangan terjadual dengan berat keseluruhan 251,450 kilogram ditahan dalam operasi bersepadu Op Green Shield ke-21 di Pelabuhan Klang, semalam.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pemeriksaan mendedahkan sembilan kontena mengandungi sisa elektronik kategori SW110 (227,450 kg) dan satu kontena SW102 (24,000 kg).
  • Dua syarikat tempatan membuat pengisytiharan palsu pada borang Kastam K1; tindakan penguatkuasaan diambil dan kes diserahkan kepada JKDM.
  • Pihak berkuasa mempergiat pemantauan dan pemeriksaan selaras larangan mutlak import e-waste berkuat kuasa 1 April melalui P.U.(A) 151/2026.

Operasi dijalankan Joint Task Force (JTF) E-waste Pelabuhan Klang yang diketuai Timbalan Komander Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) Pelabuhan Klang, Wan Fazli Wan Hamat dengan kerjasama Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Jabatan Alam Sekitar (JAS), SIRIM serta Lembaga Pelabuhan Klang (LPK).

Komander AKPS Pelabuhan Klang, Datuk Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, operasi yang berlangsung dari pukul 9.30 pagi hingga 1.00 tengah hari itu melibatkan 15 anggota yang memeriksa beberapa kontena dagangan.

“Hasil pemeriksaan mendapati sembilan kontena mengandungi sisa elektronik kategori SW110 dengan berat keseluruhan 227,450 kilogram, manakala satu kontena lagi membawa bahan buangan terjadual kategori SW102 seberat 24,000 kilogram,” katanya dalam kenyataan.

Menurut beliau, sebuah lagi kontena yang mengandungi skrap logam diserahkan kepada pihak SIRIM untuk tindakan lanjut.

Dalam operasi sama, pihak berkuasa turut mengesan dua syarikat tempatan yang membuat pengisytiharan palsu pada borang Kastam K1 bagi mengaburi pihak berkuasa.

Susulan itu, tindakan penguatkuasaan diambil dan kes diserahkan kepada JKDM untuk siasatan lanjut.

Tegas beliau, pihaknya akan terus mempergiat pemantauan serta pemeriksaan terhadap kontena yang disyaki membawa sisa elektronik terlarang.

“Pemeriksaan ini selaras dengan pelaksanaan larangan mutlak import e-waste yang berkuat kuasa mulai 1 April melalui pewartaan Perintah Kastam (Pindaan) (No. 3) 2026 [P.U.(A) 151/2026],” katanya.

Beliau menambah, AKPS akan terus memperkukuh kawalan di pintu masuk negara bagi memastikan kedaulatan sempadan serta kepentingan negara sentiasa terpelihara.