
MIRI, 9 April – Seorang lelaki maut manakala seorang kanak-kanak cedera dalam satu kemalangan jalan raya berdekatan Simpang Marudi, Lebuhraya Pan Borneo, petang tadi.
- Panggilan kecemasan diterima JBPM Sarawak pada pukul 2.57 petang; anggota Balai Bomba Lopeng digerakkan ke lokasi.
- Pasukan tiba kira-kira 20 minit kemudian dan mendapati sebuah kereta terbalik ke dalam longkang akibat kemalangan kendiri.
- Seorang kanak-kanak dikeluarkan lebih awal oleh orang awam; diberi rawatan awal di lokasi dan dibawa ke hospital.
- Mangsa dewasa, dikenali sebagai Jasper Kalang Ayub, tersepit dan disahkan meninggal di lokasi; mayat diserahkan kepada polis, punca disiasat.
Menurut Pusat Gerakan Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 2.57 petang sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Lopeng digerakkan ke lokasi kejadian.
Pasukan tiba kira-kira 20 minit kemudian dan mendapati sebuah kereta terbalik ke dalam longkang akibat kemalangan kendiri.
“Seorang lelaki berusia 39 tahun didapati tersepit di dalam kenderaan, manakala seorang kanak-kanak lelaki berusia sekitar lima tahun telah berjaya dikeluarkan lebih awal oleh orang awam.
“Mangsa dewasa didapati tersepit di dalam kenderaan dan kerja-kerja menyelamat dijalankan menggunakan peralatan khas bagi mengeluarkannya,” menurut kenyataan tersebut.
Mangsa dewasa, dikenali sebagai Jasper Kalang Ayub, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia.
Mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Sementara itu, kanak-kanak terbabit yang mengalami kecederaan diberikan rawatan awal di lokasi sebelum dibawa ke hospital untuk rawatan lanjut.
Punca kejadian masih dalam siasatan pihak berkuasa.