
PAPAR, 9 April – Seorang maut dalam kemalangan jalan raya melibatkan sebuah ambulans dan motosikal yang berlaku pagi Khamis.
- Motosikal tiba-tiba memasuki laluan ambulans sehingga pemandu tidak sempat membrek dan pelanggaran tidak dapat dielakkan.
- Impak menyebabkan kedua mangsa terjatuh; penunggang cedera ringan, pembonceng cedera parah di kepala dan disahkan meninggal dunia pukul 4.10 petang.
- Polis menasihatkan orang ramai sentiasa mematuhi undang-undang jalan raya bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.
Ketua Polis Daerah Papar, Penguasa Polis Supt Heryan Mohd Tahir berkata, kejadian kira-kira pukul 10.45 pagi itu berlaku apabila ambulans yang dalam perjalanan dari Papar ke Kota Kinabalu terlanggar sebuah motosikal dinaiki pasangan suami isteri.
Menurutnya, motosikal berkenaan secara tiba-tiba memasuki laluan ambulans menyebabkan pemandu tidak sempat membrek sebelum melanggar bahagian belakang kenderaan itu.
“Motosikal tersebut dipercayai memasuki laluan ambulans secara tiba-tiba menyebabkan pelanggaran tidak dapat dielakkan.
“Impak pelanggaran menyebabkan kedua-dua mangsa terjatuh di atas jalan raya,” katanya.
Penunggang motosikal mengalami kecederaan ringan manakala pembonceng cedera parah di bahagian kepala.
Kedua-dua mangsa dikejarkan ke Hospital Queen Elizabeth untuk rawatan lanjut.
Bagaimanapun, pembonceng disahkan meninggal dunia pada pukul 4.10 petang.
Sehubungan itu, polis menasihatkan orang ramai agar sentiasa mematuhi undang-undang jalan raya bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.