PUTRAJAYA, 13 Mac - Mahkamah Persekutuan hari ini diberitahu bahawa tiada bukti yang mengaitkan Kolonel Dr R. Kunaseegaran dengan kes pembunuhan Timbalan Pendakwa Raya Datuk Anthony Kevin Morais kerana bekas pakar patologi itu tidak pernah berada di lokasi kejadian.
Peguam Datuk N. Sivananthan, yang mewakili Kunaseegaran, berhujah anak guamnya tidak pernah dibuktikan mempunyai niat yang sama dengan lima tertuduh lain untuk membunuh Morais.
Beliau juga berkata keterangan bekas tertuduh yang kemudian menjadi saksi pendakwaan dan telah mengaitkan Kunaseegaran dengan kes itu, adalah tidak lebih daripada sekadar teori untuk mewujudkan motif.
Sivananthan berkata justeru itu, keterangan saksi pendakwaan ke-54 iaitu G. Gunasekaran adalah tidak boleh dipercayai dan harus ditolak oleh mahkamah.
Keterangan Gunaseekaran mendakwa Kunaseegaran mempunyai masalah dengan Morais dan kereta mangsa telah dilanggar dengan sengaja oleh sebuah kenderaan pacuan empat roda.
Pada asalnya, Gunasekaran telah didakwa bersama enam lagi termasuk Kunaseegaran bagi kesalahan membunuh Morais namun pertuduhan terhadapnya ditarik balik selepas dia mengaku bersalah melupuskan mayat di Mahkamah Sesyen.
Gunasekaran dijatuhi hukuman penjara dua tahun mulai 15 Sept 2015 iaitu tarikh dia ditangkap dan kemudian dipanggil sebagai saksi pendakwaan.
Pada prosiding hari ini, Sivananthan yang dibantu oleh peguam Jasmine Cheong, juga berhujah bahawa tiada bukti mengenai sebarang perancangan atau arahan antara Kunaseegaran dan seorang lagi tertuduh iaitu S.Ravi Chandaran untuk membunuh Morais.
Beliau berkata demikian pada pendengaran rayuan terakhir enam individu termasuk Kunaseegaran, 62, yang disabitkan dengan kesalahan membunuh Morais dan dijatuhi hukuman mati pada 2020.
Lima lagi ialah pemberi pinjam wang Ravi Chandaran, 54, serta empat penganggur iaitu R. Dinishwaran, 32, A.K. Thinesh Kumar, 31, M. Vishwanath, 34, dan S. Nimalan, 31.
Rayuan mereka telah ditolak pada Mac tahun lepas.
Mereka dituduh melakukan perbuatan itu di di sebuah lokasi sepanjang Jalan Dutamas Raya Sentul dan No 1, Jalan USJ 1/6D, Subang Jaya antara 7 pagi hingga 8 malam pada 4 Sept 2015.
Morais, 55, yang dilaporkan hilang pada 4 Sept 2015, dilihat kali terakhir meninggalkan kondominiumnya dengan menaiki kereta Proton Perdana dari Menara Duta, Kuala Lumpur ke pejabatnya di Jabatan Peguam Negara di Putrajaya.
Mayatnya ditemukan dalam tong dram yang diisi konkrit di Subang Jaya pada 16 September tahun sama.
Panel tiga hakim yang dipengerusikan Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat mendengar rayuan itu.
Turut bersidang Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim dan Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Rhodzariah Bujang.
Sementara itu, peguam lain yang mewakili lima lagi tertuduh berhujah bahawa tiada keterangan yang mencukupi untuk mengaitkan anak guam mereka dengan pembunuhan Morais.
Ada juga yang mencadangkan bahawa anak guam mereka sepatutnya didakwa atas pertuduhan menculik atau pengurungan salah.
Peguam Y. Sheelan Samuagam mewakili Dinishwaran, Burhanudeen Abdul Wahid mewakili Thinesh Kumar, Affifuddin Ahmad Hafifi mewakili Vishwanath, Amer Hamzah Arshad mewakili Nimalan manakala Kitson Foong mewakili Ravi Chandran.
Mahkamah telah menetapkan 24 April ini untuk pendakwaan, yang diketuai Timbalan Pendakwa Raya Datuk Yusaini Amer Abdul Karim, mengemukan hujah mereka. - BERNAMA