
SAUDARA PENGARANG
- Pelancaran Dapur Siswa MADANI memastikan mahasiswa tidak kelaparan akibat masalah kewangan, membantu tumpuan pengajian.
- KPT memperuntuk dana besar untuk DSM dan MySiswa Job On Campus, memperkukuh kebajikan serta peluang pekerjaan sambilan mahasiswa.
- DSM@UUM gabungkan teknologi retort dan model Hab dan Jejari untuk bekalan makanan tahan lama serta latihan industri pelajar.
- Penubuhan PPDK IMPIAN UUM sediakan pusat pemulihan anak istimewa, sokongan holistik, dan menjadi hab penyelidikan serta sokongan keluarga staf.
Umumnya, rakyat mengetahui bahawa gagasan Malaysia MADANI terdiri daripada enam nilai teras iaitu kemampanan, kesejahteraan, daya cipta, hormat, keyakinan dan ihsan.
Gagasan nilai ini bermatlamat menjadikan dasar dan pelaksanaannya di Malaysia lebih manusiawi yang sentiasa ditambah baik bagi memberi manfaat kepada semua lapisan rakyat.
Kesemua prinsip ini sebenarnya memberi penekanan tentang pentingnya melakukan kebaikan dalam dimensi kehidupan ke arah membina masyarakat yang berpegang serta mengamalkan nilai-nilai murni untuk hidup dengan harmoni.
Pelaksanaan Dapur Siswa MADANI untuk Kesejahteraan Mahasiswa
Bagi sebuah Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) termasuk Universiti Awam (UA) pula, menjaga kesejahteraan dan kebajikan mahasiswa menjadi satu manifestasi mengangkat prinsip-prinsip terkandung dalam gagasan Malaysia MADANI terutama berkaitan kesejahteraan, hormat dan ihsan.
Pelancaran Dapur Siswa MADANI (DSM) bukanlah retorik politik populis tetapi satu usaha realistik oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dalam usaha memastikan masalah kelaparan disebabkan isu kewangan, tidak mengganggu tumpuan mahasiswa sepanjang tempoh pengajian di IPT.
Kerajaan memberi peruntukan awal bagi pelaksanaan DSM berjumlah RM26 juta di bawah Belanjawan MADANI 2026, membuktikan bahawa kesejahteraan mahasiswa sangat penting dalam pembentukan modal insan negara ini.
Perjuangan mahasiswa perlu dihormati kerana mereka adalah generasi yang akan meneruskan usaha membangunkan negara dan rakyat. Tema ihsan dalam gagasan MADANI juga sangat terserlah dalam inisiatif ini yang berkait rapat dengan membantu komuniti mahasiswa mengikuti pengajian tanpa terpaksa menahan lapar disebabkan isu kewangan.
Sokongan kewangan bagi memperkukuh ekosistem kebajikan mahasiswa melalui KPT yang diterajui Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir, diteruskan melalui pengumuman peruntukan tambahan RM15 juta untuk DSM oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 5 Januari lalu.
Pelaksanaan DSM dalam kalangan UA berbeza antara satu sama lain kerana bergantung kepada keperluan semasa mahasiswa sesebuah IPT. Umumnya, pelaksanaan DSM ini menggabungkan pelbagai elemen seperti bantuan makanan, penyediaan kemudahan memasak, mewujudkan peluang pekerjaan sambilan di kampus dan pembinaan kemahiran pengurusan DSM.
Selain itu, ia turut membentuk mahasiswa UA untuk terlibat secara aktif dalam kegiatan sukarelawan menerusi pelaksanaan DSM, menggalakkan kerjasama dan sumbangan pihak industri serta menyuburkan budaya saling bantu membantu dalam kalangan warga universiti di bawah KPT.
DSM membolehkan mahasiswa mendapat bahan mentah dan menyediakan makanan sendiri dengan kos lebih rendah selain mereka boleh mengakses bank makanan yang tersedia serta memanfaatkan ruang dapur lebih selesa dan selamat di kolej kediaman yang terlibat dalam program DSM di UA.
Program ini mendapat sambutan meluas daripada mahasiswa UA di seluruh negara sehingga KPT sendiri menyarankan supaya IPT swasta mencontohi pelaksanaan DSM dalam usaha membantu meningkatkan kesejahteraan pelajar.
Seiring pelaksanaan DSM, KPT turut menyokong program MySiswa Job On Campus (JoC) dengan memperuntuk RM20 juta bagi mahasiswa membantu pengurusan DSM di kampus dan pada masa sama, menjana pendapatan kepada peserta.
Pelajar yang terlibat dalam proses penyediaan makanan sehinggalah pengagihan kepada pelajar memerlukan diberi gaji di bawah skim JoC.
Impak Positif DSM@UUM Kepada Kesejahteraan Mahasiswa
Bagi membantu pemahaman terhadap inisiatif KPT dan pelaksanaan DSM, apa yang dilakukan oleh Universiti Utara Malaysia (UUM) misalnya, bukan sahaja menjayakan program bantuan makanan mahasiswa tetapi menggabungkan DSM dengan penggunaan teknologi, memperkukuh ekosistem pembelajaran tidak formal kepada pelajar dan pembangunan modal insan holistik.
Di peringkat pelaksanaan, inisiatif ini menunjukkan bahawa DSM bukan sekadar bantuan makanan, tetapi satu pendekatan lebih menyeluruh dalam memperkukuh kebajikan mahasiswa.
Ia juga dilihat sebagai kesinambungan kepada usaha sedia ada universiti dalam menangani tekanan kos sara hidup pelajar, hasil sokongan dana RM1.2 juta oleh kerajaan bagi pelaksanaan DSM di kampus Sintok.
Sebelum ini, ketika isu kenaikan kos makanan mula dirasai, UUM telah memperkenalkan Menu Rahmah pada 2023 yang menawarkan hidangan pada harga antara RM3.50 hingga RM5.00 di kafetaria kampus.
Inisiatif tersebut mendapat sambutan baik dalam kalangan mahasiswa, khususnya dalam suasana ekonomi global yang tidak menentu dan turut memberi kesan kepada perbelanjaan harian pelajar.
Selain itu, pelaksanaan kupon makanan dan minuman percuma dalam kampus turut diperkenal untuk membantu mahasiswa. Pelajar terutama daripada keluarga B40 memanfaatkan skim kupon makanan dan minuman tersebut bagi menjimatkan perbelanjaan di kampus.
Ketika itu, pelaksanaan kupon dibuat hasil sumbangan staf, alumni dan orang ramai bagi membantu mahasiswa UUM.
Kini, program DSM memperkukuhkan lagi inisiatif kebajikan untuk mahasiswa UUM dengan model pelaksanaan memanfaatkan sepenuhnya teknologi retort.
Program holistik ini berfungsi sebagai ekosistem inovatif dalam menangani masalah kelaparan di kampus kerana turut menggabungkan elemen pemerkasaan kemahiran pelajar, memupuk kerjasama universiti-industri serta memberi peluang pekerjaan kepada mahasiswa UUM.
Dapur pusat program DSM@UUM beroperasi di Inapan siswa (Inasis) Proton kampus Sintok. Makanan dimasak secara pukal di dapur pusat sebelum diproses menggunakan teknik pensterilan suhu tinggi yang membolehkan makanan bertahan hingga satu tahun tanpa bahan awet.
Makanan ini kemudian diedarkan ke Dapur Satelit di kolej-kolej kediaman melalui model “Hab dan Jejari”. Teknologi retort memudahkan pelajar apabila hanya perlu memanaskan pek makanan yang dijenama sebagai MADANI RESQ Pek menggunakan ketuhar gelombang mikro atau pengukus.
Program DSM ini juga dilihat sebagai medan latihan industri mahasiswa apabila mereka berpeluang mengendalikan operasi teknikal, pengurusan logistik serta memastikan produk mematuhi piawaian halal. Pengalaman ini membantu meningkatkan lagi kebolehpasaran graduan.
Sejak Program DSM@UUM dilaksanakan bermula Disember 2025, program tersebut telah memberi manfaat bentuk pengagihan 3,000 MADANI RESQ Pek. Manakala, 40 mahasiswa melibatkan diri bagi JoC yang menjana pendapatan sampingan.
DSM@UUM menggabungkan peruntukan kerajaan melalui KPT, dana universiti, sumbangan sektor korporat serta caruman sukarela warga kampus sebagai satu model pembiayaan hibrid.
Pendekatan ini bukan sahaja memperkukuh kebajikan mahasiswa, malah menunjukkan bahawa aspek kebajikan dan pendidikan tinggi boleh bergerak seiring. Dalam masa sama, ia berpotensi menjadi model rujukan kepada universiti lain, termasuk di peringkat antarabangsa.
Dalam suasana kos sara hidup semakin mencabar, DSM memberi makna yang besar kepada mahasiswa kerana ia memastikan golongan ini terus mendapat akses kepada makanan secara teratur, mudah dan bermaruah.
Ia juga relevan kerana selari dengan peranan universiti membina ekosistem kampus yang prihatin dan menyokong keperluan sebenar mahasiswa secara lestari dan sistematik.
Sokongan KPT Jayakan Penubuhan Pusat Pemulihan OKU UUM
Selain program DSM, satu lagi inisiatif dalam kampus UUM yang mendapat sokongan kuat KPT adalah penubuhan Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) yang dikenali sebagai Pusat Intervensi Mesra dan Pemulihan Anak-anak Istimewa (PPDK IMPIAN UUM).
Sumbangan dana RM1.5 juta oleh KPT itu telah dapat memastikan anak-anak istimewa daripada lebih 83 keluarga warga kampus mempunyai akses, bukan sahaja kepada pusat jagaan, tetapi ruang pembelajaran dan pemulihan.
Kemudahan itu berasaskan pendekatan menyeluruh hasil gabungan elemen terapi, pendidikan dan emosi berasaskan Model TIES (Target, Instruction, Environment & Support).
PPDK IMPIAN UUM akan beroperasi tahun ini dan menjadi pusat sokongan kepada staf yang mempunyai anak-anak berkeperluan khas. Ia juga berfungsi sebagai pusat komuniti yang menyokong aspirasi universiti dalam membentuk persekitaran kampus yang inklusif, mesra dan sejahtera kepada semua.
Penubuhan PPDK IMPIAN UUM dijangka akan diperluas kepada warga luar kampus dan kawasan sekitar apabila semua infrastruktur dan ekosistem keseluruhan siap sepenuhnya nanti. Penubuhan pusat ini disambut dengan penuh kesyukuran oleh keluarga yang mempunyai anak-anak istimewa kerana mempunyai satu sistem sokongan khusus.
Selama ini, ramai ibu bapa terpaksa bergantung kepada ahli keluarga atau pusat jagaan biasa sepanjang waktu bekerja, sekali gus menimbulkan cabaran dari segi kesesuaian dan keselamatan anak-anak berkeperluan khas. Keadaan ini menjadikan rutin harian mereka jauh berbeza berbanding keluarga lain.
Operasi PPDK IMPIAN UUM, bukan sekadar pusat jagaan biasa, tetapi akan turut melibatkan kepakaran akademik dan penggunaan teknologi seperti pemantauan digital dan kecerdasan buatan (AI) bagi memantau dan menilai perkembangan anak-anak secara bersistematik dan berfokus.
Pastinya, kemudahan itu akan menyediakan “ruang lega” kepada ibu bapa kerana dapat bekerja dengan tenang apabila anak-anak berada dalam jagaan “tangan-tangan” yang memahami tentang anak mereka.
PPDK IMPIAN UUM, adalah PPDK kesepuluh diwujudkan di universiti, bawah inisiatif Belanjawan 2026. Projek tersebut memberi nilai tambah kepada warga universiti sebagai pusat sokongan kepada keluarga mempunyai anak-anak berkeperluan khas.
Jawatankuasa penaja PPDK IMPIAN UUM ini terdiri daripada kakitangan akademik dan bukan akademik dari pelbagai pusat pengajian dan pusat kecemerlangan selain merangkumi pelbagai bidang kepakaran.
Selain memberi perkhidmatan kepada ana-anak istimewa, ia turut dijadikan hab penyelidikan dan inovasi untuk pembangunan universiti dan kesejahteraan komuniti berteraskan prinsip-prinsip Malaysia MADANI.
Secara keseluruhan, inisiatif seperti DSM dan PPDK IMPIAN memperlihatkan bahawa kesejahteraan di kampus bukan lagi isu sampingan, tetapi teras kepada pembangunan pendidikan tinggi.
Persoalannya, sejauh mana pendekatan sebegini mampu diperluas secara konsisten ke seluruh institusi, supaya tiada mahasiswa atau keluarga yang tercicir dalam system pendidikan yang sepatutnya menyokong ke semua pihak, terutama pelajar.
Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.

Kori Ariff
Pengarah Jabatan Komunikasi Korporat
Universiti Utara Malaysia (UUM)
e-mel: kori@uum.edu.my