Op Kesan 6.0 : KPDN Selangor keluarkan sembilan notis

Foto ihsan KPDN Selangor

SHAH ALAM, 1 Jun – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Selangor mengeluarkan sembilan notis terhadap peniaga di negeri itu menerusi Op Kesan 6.0 dalam memastikan tiada kenaikan harga yang tidak munasabah berikutan situasi global.

RINGKASAN BERITA AI
  • Notis dikeluarkan di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 untuk mendapatkan maklumat terperinci harga dan kos.
  • Inspeksi melibatkan 46 SKU termasuk barangan keperluan harian, produk pertanian, penternakan dan produk petrokimia seperti bahan pembungkus plastik.
  • Peniaga yang menaikkan harga tidak munasabah akan dikenakan tindakan tegas termasuk hukuman denda atau penjara; KPDN juga menyediakan nasihat penentuan pencatutan.

Pengarah KPDN Selangor Muhamad Hanif Asa’ari berkata notis di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 itu dikeluarkan bagi mendapatkan maklumat terperinci berkaitan harga serta kos barangan daripada peniaga terlibat.

Beliau berkata pelaksanaan operasi itu melibatkan pemeriksaan terhadap 46 Stock Keeping Unit (SKU) meliputi kategori barangan keperluan harian selain pemantauan terhadap barangan pertanian dan penternakan serta produk petrokimia seperti pembungkus plastik.

“Sembilan notis yang dikeluarkan itu sebagai langkah intervensi atau fear factor kepada peniaga agar berwaspada dan beretika supaya tidak sesekali mengambil kesempatan susulan krisis tenaga global.

“Tindakan pemeriksaan selepas ini akan diteruskan dan diperluas pada pelbagai peringkat rantaian perniagaan termasuk pengeluar, pengilang, penternak, peladang, pengedar dan pemborong sepanjang berkuat kuasa Op Kesan 6.0 sehingga 31 Ogos,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Muhamad Hanif berkata individu atau syarikat yang didapati menaikkan harga secara tidak munasabah dan tidak sejajar dengan perundangan pencatutan bakal berhadapan tindakan tegas termasuk hukuman penjara dan denda jika sabit kesalahan.

Beliau berkata KPDN Selangor terbuka untuk memberikan nasihat berkaitan prinsip asas dan mekanisme penentuan pencatutan bagi memastikan peniaga sentiasa peka dengan undang-undang yang sedang dikuatkuasakan. – BERNAMA

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.