
MIRI, 1 Jun – Unit Udara Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak melakukan penerbangan ihsan bagi membawa seorang pesakit kritikal dari Kampung Ba Itam Asal, Pedalaman Telang Usan ke Hospital Miri untuk mendapatkan rawatan segera, pagi tadi.
- Pejabat Residen Miri memohon pemindahan seorang lelaki 18 tahun mengalami komplikasi serius untuk rawatan segera.
- Helikopter Mi-171 JBPM digerakkan bersama sembilan kru dan tiga pegawai kesihatan, pesakit diserahkan kepada KKM di Miri.
- Misi menegaskan komitmen JBPM bantu penduduk pedalaman; ADUN ucap terima kasih, kampung terputus hubungan akibat jalan balak rosak.
Penolong Penguasa Bomba Pangkalan Udara Wilayah Sarawak Norhasdi Ismail dalam kenyataan memaklumkan, pihaknya menerima permohonan dari Pejabat Residen Miri untuk memindahkan seorang lelaki berusia 18 tahun yang mengalami komplikasi serius.
“Susulan itu, sebuah helikopter Mi-171 yang berpangkalan di Pangkalan Udara Wilayah Sarawak JBPM, Miri dengan sembilan kru serta tiga pegawai kesihatan dari Miri digerakkan ke lokasi pada pukul 10 pagi.
“Pasukan berkenaan tiba di Lapangan Terbang Miri pada pukul 12.13 tengah hari dan terus diserahkan kepada pihak Kementerian Kesihatan (KKM),” menurut kenyataan itu.
Misi itu membuktikan komitmen berterusan JBPM dalam memastikan penduduk pedalaman mendapat bantuan kecemasan dan rawatan segera, terutama dalam situasi kritikal.
Sementara itu ADUN Telang Usan Dato Dennis Ngau menerusi hantaran di Facebook, mengucapkan penghargaan kepada pasukan JBPM dan Hospital Miri dalam mengurus pesakit berkenaan.
“Kampung berkenaan terputus hubungan berikutan kerosakan jalan balak yang menjadi laluan utama penduduk,” menurut hantaran itu.