
JOHOR BAHRU, 27 April- Tiga individu termasuk dua lelaki warga Indonesia mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan menyimpan minyak diesel tanpa kebenaran di Taman Mount Austin, minggu lalu.
- Tertuduh: Lee Kok Chek (45), Hendrik Dwi Setyawan (38) dan Maulana Bachrudin (28).
- Didakwa memiliki 12,789 liter diesel dalam tanker tanpa prime mover dan 89 liter dalam tangki IBC tanpa kebenaran Pengawal Bekalan.
- Pertuduhan mengikut Seksyen 20(1) Akta Kawalan Bekalan 1961, boleh dihukum mengikut Seksyen 22(1) dan Seksyen 34 Kanun Keseksaan.
- Mahkamah ikat jamin Lee RM10,000 dengan seorang penjamin; dua warga asing dihantar ke Pusat Koreksional Johor Bahru; sebutan 3 Jun.
Tertuduh, Lee Kok Chek, 45, Hendrik Dwi Setyawan, 38, dan Maulana Bachrudin, 28, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Datuk Che Wan Zaidi Che Wan Ibrahim.
Mereka didakwa menyimpan barang kawalan iaitu minyak diesel sebanyak 12,789 liter dalam sebuah tanker tanpa prime mover dan 89 liter dalam tangki IBC yang tidak dibenarkan Pengawal Bekalan untuk tujuan penyimpanan.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di sebuah premis di Jalan Mutiara Emas 7/4, Taman Mount Austin, pada kira-kira 4.09 pagi, 23 April lalu.
Ketiga-tiga tertuduh didakwa mengikut Seksyen 20(1) Akta Kawalan Bekalan 1961, yang boleh dihukum mengikut Seksyen 22(1) akta sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Johor, Nur Sulehan Abd Rahman.
Sementara itu, tertuduh Lee Kok Chek diwakili peguam Mohamad Azrulsani Othman.
Mahkamah membenarkan Lee Kok Chek diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin, manakala dua lagi tertuduh warga asing dihantar ke Pusat Koreksional Johor Bahru selepas jaminan tidak dibenarkan.
Kes disebut semula pada 3 Jun depan bagi serahan laporan kimia.