PUTRAJAYA, 18 Julai - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan empat individu membabitkan seorang pengurus kontrak syarikat pembinaan terkemuka bersama isterinya serta dua pengarah syarikat, kerana disyaki terlibat rasuah.
Kesemua suspek berusia antara 40 hingga 60-an itu direman bagi membantu siasatan membabitkan projek pembinaan pusat data di Johor bernilai RM180 juta.
Tangkapan dilakukan Bahagian Siasatan SPRM di sekitar Lembah Klang, semalam dalam "Op Ways".
Dalam operasi itu, SPRM turut menyita wang tunai kira-kira RM7.5 juta yang ditemui di kediaman milik pengurus kontrak berkenaan.
Wang tunai berjumlah kira-kira RM7.5 juta turut dirampas
"Wang itu dipercayai rasuah yang diterima suspek sebagai balasan mendapatkan enam tender perolehan projek berkenaan," kata sumber.
Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin membenarkan suspek lelaki yang berjawatan pengurus kontrak syarikat direman selama tujuh hari sehingga 24 Julai ini, manakala isterinya direman tiga hari sehingga Ahad.
Sementara itu, dua lagi suspek lelaki yang merupakan pengarah syarikat, masing-masing direman selama lima hari sehingga 22 Julai ini selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Putrajaya, pagi tadi.
Permohonan reman dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Putrajaya - Foto SPRM
Siasatan awal mendapati suspek dipercayai menetapkan kadar rasuah sebanyak 2.5 peratus bagi setiap tender yang diperoleh dua syarikat berkenaan.
Sementara itu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya mengesahkan penahanan tersebut.
Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 16(a)(A) dan Seksyen 17(A) Akta SPRM 2009.