fb fb fb fb fb

Sindiket seleweng diesel lebih 2,600 liter di lombong tumpas

Penguat kuasa KPDN Pahang melakukan pemeriksaan sebuah lori yang disyaki melakukan aktiviti menyeludup diesel ketika Ops Tiris 3.0 Rabu lalu./ Foto: KPDN Pahang

KUANTAN, 19 April- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Negeri Pahang berjaya menumpaskan kegiatan menyeleweng diesel subsidi di sebuah lombong di Muadzam Shah, Rompin baru-baru ini.

Ia selepas penahanan seorang lelaki berusia 45 tahun menerusi Ops Tiris 3.0  pada Rabu lalu hasil risikan yang telah dijalankan KPDN Pahang yang telah mengekorinya dari Pekan hingga ke Muadzam Shah.

Pengarah KPDN Pahang, Jezlily Jamaluddin berkata pihaknya turut merampas sebuah lori tiga tan diubah suai dan lebih 2,600 liter diesel bersubsidi yang cuba diselewengkan ketika menahan suspek selain merampas tangki simpanan, motor pam dan beberapa peralatan lain dengan anggaran nilai rampasan keseluruhan RM75,641.

“Operasi Ops Tiris 3.0 dijalankan hasil risikan dan aduan awam berhubung aktiviti mengutip minyak diesel bersubsidi di stesen-stesen minyak sekitar Kuantan menggunakan lori diubah suai untuk dijual secara haram kepada industri.

“Hasil risikan yang dijalankan, lori berkenaan telah dikesan mengisi minyak beberapa kali dalam keadaan mencurigakan di tiga stesen minyak sepanjang Jalan Pekan di sini,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Tambah Jezlily, suspek ditahan ketika sedang membuat pemindahan diesel dari lori ke sebuah tangki di kawasan lombong berkenaan ketika serbuan dilakukan.

Susulan itu, dua kertas siasatan telah dibuka iaitu kepada individu lelaki terbabit dan pemilik skid tank yang disita kerana memiliki barang kawalan dalam keadaan yang menimbulkan syak melakukan kesalahan dan tidak memiliki permit menyimpan barang kawalan petroleum.

Jezlily berkata suspek akan disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan (AKB) 1961.

ZEHRA BINTI ZAMBRI