fb fb fb fb fb

Sindiket edar pil kuda RM6.16 juta tumpas di Kelantan

Foto fail

PASIR MAS, 3 Julai - Polis menumpaskan sindiket pengedaran dadah jenis pil kuda anggaran RM6.16 juta dalam serbuan di sekitar Pasir Mas dan Tumpat, Kelantan baru-baru ini.

Pemangku Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Mat Zani @ Mohd Salahuddin Che Ali berkata, sindiket terbabit dikesan berselindung di sebalik operasi restoran makanan laut, perniagaan dalam talian dan salon kecantikan.

Kegiatan itu dipercayai menjadi helah untuk mencuci wang hasil jualan dadah dan mengaburi pihak berkuasa.

"Tidak berhenti di situ kita juga telah membuat pemeriksaan di belakang rumah suspek dan kita dapati terdapat kendang lembu sebanyak enam ekor lembu dan kita telah membuat pemeriksaan di kandang lembu tersebut yang mana kita telah menjumpai 20kg pil kuda yang disembunyikan dalam lambakan najis lembu tersebut jadi kita korek dan kita menjumpai 20 kg pil kuda," katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis (IPD) Pasir Mas.

Perniagaan itu dikendalikan isteri kepada suspek utama yang juga salah seorang daripada enam individu ditahan.

Dalam serbuan pada 27 Jun lalu, hasil risikan sejak setahun lalu berjaya membawa kepada rampasan 35.4 kilogram pil kuda dengan nilai pasaran sekitar RM5.04 juta dalam enam operasi berasingan di dua daerah berkenaan.

Menerusi operasi itu lima lelaki dan seorang wanita berusia antara 25 hingga 39 tahun ditahan dan tiga daripadanya mempunyai rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah.

Turut disita aset bernilai lebih RM6.15 juta termasuk kenderaan mewah serta polis turut merampas barangan kemas, sembilan beg tangan dan dua utas jam berjenama mewah.

Kesemua suspek disiasat bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman gantung sampai mati atau penjara seumur hidup dan sebatan tidak kurang daripada 12 sebatan jika sabit kesalahan. 

Kesemua suspek direman tujuh hari bermula 28 Jun hingga esok bagi membantu siasatan.

TETITIA YUSOFF