fb fb fb fb fb

Sentuh isu 3R: Muhyiddin didakwa pagi ini

Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika menyerahkan beberapa dokumen kepada polis pada 21 Ogos 2024 bagi membantu siasatan berhubung ucapannya semasa kempen PRK DUN Nenggiri/Foto Bernama

KUALA LUMPUR, 27 Ogos –Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin akan didakwa pagi ini di Mahkamah Sesyen Gua Musang.

Pendakwaan dibuat susulan ucapannya yang menyentuh isu berkaitan kaum, agama dan raja (3R) dalam kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri baru-baru ini.

Bernama melaporkan, Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain berkata pihaknya telah menerima arahan daripada Pejabat Peguam Negara (AGC).

"Pertuduhan dilakukan mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan," kata Razarudin.

Berdasarkan maklumat sistem e-Filing Mahkamah Persekutuan Malaysia, sesi pendengaran kes berkenaan bermula pada pukul 9.00 pagi di hadapan Hakim Nik Mohd Tarmizie Nik Mohd Shukri.

ARTIKEL BERKAITAN

Terdahulu, media melaporkan polis telah menyerahkan kertas siasatan berhubung ucapan Ahli Parlimen Pagoh itu kepada AGC pada 21 Ogos lepas untuk tindakan lanjut.

Berhubung siasatan pihak polis, Razarudin berkata pihaknya sudah mengambil keterangan daripada Muhyiddin dan 66 saksi berkaitan.

Ucapan Pengerusi PN itu telah tular dan didakwa menyentuh kewibawaan Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ketika baginda menjadi Yang di-Pertuan Agong ke-16.

MAT YUNUS BIN SABRI